DUA lelaki di Parit Buntar, Perak dikenakan denda RM1,000 masing-masing kerana tidak menarik ke atas semula penutup muka yang dipakai mereka selepas minum air.
Menurut laporan Sin Chew Daily, dua lelaki yang baru sahaja meletakkan minuman di dalam bakul motosikal itu, dan sebelum sempat menarik pelitup muka ke atas, telah ditahan oleh anggota polis berpakaian biasa dan diarahkan menaiki kenderaan polis sebelum dibawa ke Balai Polis.
Kedua-dua mereka dikenakan denda sebanyak RM1,000 lapor Sin Chew.
Menurut lelaki bernama Lee itu, dia dan kawannya menunggang dua buah motosikal untuk menghantar rakan ke sebuah shopping mall sementara mereka menunggu di sebatang jalan berdekatan.
Menurutnya, dia memang memakai penutup muka ketika menunggu, sebelum mereka membeli dua cawan air di premis berdekatan dan menarik pelitup muka ke dagu untuk minum.
Sebaik sahaja meletakkan minuman ke dalam bakul motosikal, tiba-tiba sebuah kereta membawa tiga orang muncul.
Dua daripada mereka tidak memakai pakaian seragam polis namun memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Salah seorang menunjukkan kad kuasa dan menuduh mereka tidak memakai penutup muka serta melanggar undang-undang, sebelum mengarahkannya masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke balai polis.
Kedua-dua mereka kemudian dikenakan saman masing-masing berjumlah RM1,000 dan dikehendaki menjelaskan saman Itu di Pejabat Kesihatan Daerah Kerian.
Katanya, dia baru sebentar sahaja menarik pelitup muka ke dagu untuk minum tetapi sudah dikenakan saman.
Kosmo pula melaporkan Polis Kerian menafikan dakwaan tular kononnya dua remaja lelaki yang dikenakan kompaun RM1,000 adalah disebabkan tidak memakai pelitup muka untuk minum air di Taman Wawasan di Parit Buntar, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat sebaliknya berkata, kompaun itu dikeluarkan setelah mendapati dua remaja berusia 17 dan 18 tahun itu tidak memakai pelitup muka sambil berbual dengan mengadap satu sama lain.
Katanya, tindakan ke atas mereka juga hanya diambil setelah pemerhatian selama 10 minit dilakukan anggota bertugas.
“Semasa rondaan Op Cegah Jenayah/Op Covid-19 SOP PKPB Parit Buntar di jalankan di kawasan berkenaan pada pukul 12 tengah hari, pihak polis telah ternampak dua lelaki duduk di atas motosikal masing-masing sambil berbual mengadap satu sama lain.
“Kedua-dua mereka didapati tidak memakai pelitup muka walaupun selepas pemerhatian dijalankan dalam tempoh 10 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mazuki berkata, seorang pegawai polis kemudiannya menghampiri remaja terbabit dan memperkenalkan diri sebelum menjelaskan kesalahan yang telah dilakukan mereka.
Katanya, kedua-dua remaja itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan kompaun kerana melanggar Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Sebelum tindakan kompaun diambil, kita telah membuat pemerhatian lebih kurang 10 minit di tempat tersebut.
“Malah, di dalam gambar dan video yang diambil juga jelas menunjukkan kedua-dua remaja itu bukan sahaja tidak memakai pelitup muka malah tidak mematuhi penjarakan sosial iaitu satu meter,” katanya.
Sumber — https://www.milosuam.net
0 ulasan:
Catat Ulasan