Khamis, 19 November 2020

Isu KWSP:Ini soal hidup rakyat, bukan lagi pelaburan, tegas Najib

 

Najib Razak berkata tuntutan diperjuangkannya sejak awal sebelum pembentangan Belanjawan 2021 itu tidak akan menjejaskan kelangsungan operasi KWSP.

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak wajar melihat tuntutan rakyat supaya pengeluaran akaun 1 diperluaskan sebagai beban yang akan menjejaskan pelaburannya, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

“Saya tak setuju pandangan CEO KWSP (Tunku Alizakri Alias), kalau kita benarkan pengeluaran RM10,000 dari akaun 1 secara pukal, peluang pelaburan KWSP akan terjejas.

“Ini keadaan darurat, keadaan kritikal. Ini soal hidup rakyat bukan lagi perihal pelaburan,” katanya dalam program Sinar Live bertajuk “Apa Kisah Belanjawan 2021” semalam.

Beliau yang juga bekas menteri kewangan berkata, tuntutan diperjuangkannya sejak awal sebelum pembentangan Belanjawan 2021 itu tidak akan menjejaskan kelangsungan operasi KWSP dan yakin Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memahami keperitan hidup rakyat ketika ini.

“Saya tak puas hati tapi saya nak beri masa lagi kepada kerajaan dan menteri kewangan untuk lihat perkara ini. Saya rasa menteri kewangan faham tuntutan rakyat tapi pengurusan KWSP ini agak masih mempertahankan kedudukannya.

“Ini tuntutan rakyat. Kalau saya menteri kewangan, saya bagi kata dua. Keluarkan arahan, kalau tak buat dia (Tunku Alizakri) kena berhenti (letak jawatan),” katanya.

Katanya, dalam kes darurat seperti ini Bank Negara Malaysia boleh membantu KWSP dengan membeli bon milik KWSP, yang mana ia boleh disimpan atau dijual semula kepada pihak ke-3.

“Saya sarankan, bukanlah boleh mendatangkan kemudaratan kepada KWSP. Benda boleh dilakukan melalui ulasan saya sebelum ini. Ibarat orang lemas dia nak guna pelampung. Pelampung tu pula dia punya, bukan orang lain punya,” katanya.

Najib berkata, dengan membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun 1 akan berlaku suntikan kewangan dalam sistem ekonomi negara.

“Permintaan domestik akan bertambah dan ekonomi berputar lebih rancak. Ini bukan satu tuntutan populis tetapi soal kelangsungan rakyat,” katanya.

KWSP sebelum ini mengumumkan kemudahan akses simpanan persaraan akaun 1, i-Sinar yang memberi manfaat kepada 2 juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan.

Syarat ketat menyebabkan tindakan KWSP itu dikritik dan ditolak beberapa pemimpin antaranya Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.-FMT


0 ulasan:

Catat Ulasan