Jangan potong gaji menteri 10% tapi 30%
A. Kadir Jasin
- Seandainyalah Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) hendak tunjuk keprihatinan dan simpati kepada rakyat jelata dalam masa krisis Covid-19 ini, tak payahlah potong gaji sampai 30% macam ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, cadangkan.
- Potong 20% macam kerajaan negara kafir New Zealand buat pun dah cukup baik. Busuk-busuk pun buat macam kerajaan Pakatan Harapan (PH). Sebaik saja ambil alih pemerintahan pada bulan Mei 2018, kerajaan PH potong gaji Jemaah Menteri sebanyak 10% dan kurangkan bilangan Menteri. Masa itu Covid-19 belum ada lagi.
- Tak guna cakap pasal prihatin rakyat atau laungkan slogan demi agama, bangsa dan negara kalau nak berkorban sikit pun liat.
- Betul, kalau potong 30% pun Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, dan Menteri-menterinya serta ahli keluarga mereka tidak akan kebuluran.
- Ikut butiran perisytiharan harta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), pendapatan bulanan Muhyiddin RM 104,841.65. Potong 30% iaitu RM 31,452.49 masih tinggal RM 73,389.15. Itu belum kira aset yang dia isytihar antara RM 10 juta dan RM 15 juta.
- Menteri merangkap ahli Parlimen dapat gaji dalam RM 55,000 sebulan. Potong 30% atau RM 16,500, masih ada RM 38,500.
- Dalam satu tampalan media sosial pada 11 Mac lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dedahkan yang Menteri juga dibayar elaun bercutian RM 70,000 setahun dan elaun makan dan minum RM 180 sehari. Kalau pindah rumah dapat RM 10,000 dan belanja sekali beli pinggan mangkuk RM 42,000. Ditakdirkan kena berhenti, dibayar saguhati RM 150,000. Ini semua duit cukai rakyat jelata miskin dan kaya.
- Negara kafir macam New Zealand mereka tak ada slogan demi agama, bangsa dan negara tapi kerajaan mereka tak rasuah dan tak boros. Politikus Melayu-Islam Malaysia tak sah kalau tak laung slogan “Demi agama, bangsa dan negara.”
- Jadi tidak hairanlah kalau New Zealand duduk tempat nombor satu dalam Indeks KeIslaman (Islamicity Index) kerana mengamalkan ciri-ciri Islam dalam kehidupan sehariannya sedangkan kita yang mengaku negara Islam jatuh nombor 45. Malahan kalah dengan Singapura di tempat ke-28.
- Macam mana nak dapat pengiktirafan kalau mandat rakyat jelata dikhianati dan beza gaji Perdana Menteri dengan pendapatan purata rakyat jelata sangat besar berbanding negara-negara maju. Pendapatan Muhyiddin adalah 13 kali ganda pendapatan purata isi rumah Malaysia pada tahun 2019.
- Bukan itu saja. Apabila PN rampas kuasa dan tubuh Kabinet raksasa dengan 32 Menteri dan 37 Timbalan Menteri, rakyat jelata kena tanggung perbelanjaan tambahan RM 7.18 bilion untuk penstrukturan semula Jemaah Menteri. Demikianlah borosnya kerajaan Melayu-Islam PN ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan