Rabu, 2 September 2020

Najib: BN tak sabar nak lawan 'pokok petai lagi'


Ketika wakil rakyat Bersatu dari Kempas, Osman Sapian menghadapi kemungkinan diusir dari partinya, bekas perdana menteri Najib Razak memberi amaran perebutan kuasa di Johor boleh menyebabkan pilihan raya umum ke-15 diadakan.

Bekas presiden Umno itu merujuk amaran Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 3 Jun yang bertitah akan membubarkan DUN sekiranya berlaku perebutan kuasa.

Najib pada hantaran di Facebook hari ini berkata jika DUN Johor dibubarkan, parlimen mungkin juga dibubarkan dan pilihan raya persekutuan dapat diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Johor.

"Ada peluang boleh dilaksanakan serentak dengan PRN Sabah juga. Negeri-negeri lain turut ikut.

"Ini bermakna jika PH Plus masih tegas untuk merebut kuasa di Johor, akibatnya ialah Pilihan Raya Umum (PRU) seluruh negara mungkin akan berlangsung,” katanya sambil meramalkan PH dan sekutunya akan kalah teruk.

Sila terus rebut kuasa di Johor

PH Plus ialah gelaran tidak rasmi merujuk kerjasama antara PH, Warisan dan kem Bersatu yang berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu menubuhkan Pejuang selepas dipecat daripada Bersatu.

"Jika PH Plus nak lawan amaran sultan dan teramat ingin pilihan raya umum berlangsung serta merta, sila teruskan untuk merebut kuasa di Johor.

"Kita di pihak BN tak sabar nak lawan pokok petai sekali lagi. Your move, PH Plus,” kata Najib.

Ketika PRK Slim, Pejuang menyokong calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang menggunakan lambang pokok.

Calon BN Mohd Zaidi Aziz menang dengan majoriti 10,945 undi apabila meraih 13,060 undi, berbanding Amir yang mendapat 2,115 undi dan Santharasekaran dengan 276 undi.

Sementara itu, Osman yang juga bekas menteri besar Johor dan bekas  pengerusi Bersatu negeri dijangka menghadapi tindakan tatatertib selepas beliau hadir berkempen bersama Amir.

Ini termasuk kemungkinan ditamatkan keahlian Bersatu dan dalam hal ini, Osman telah menyatakan beliau akan menjadi wakil rakyat bebas DUN Johor.

Bagaimanapun, hal ini dapat menyebabkan kerajaan Johor pimpinan Perikatan Nasional berada dalam keadaan tidak menentu, kerana pada waktu ini PN memiliki 29 kerusi dalam dewan berbanding 27 kerusi pembangkang.

Sekiranya ada seorang Adun PN yang berpaling tadah, maka ia akan menyebabkan DUN yang digantung.

Speaker Johor, Suhaizan Kayat, bukan Adun yang terpilih.

Sebelum ini, berikutan Langkah Sheraton pada bulan Februari, Sultan Ibrahim bertitah memberi amaran akan membubarkan DUN jika ada perebutan kuasa lain.

Bagaimanapun, ancaman itu sudah cukup untuk menggagalkan rancangan PH untuk mengadakan rampasan kuasa kembali terhadap PN, manakala PH Johor pula kemudian berkata akan menjunjung titah baginda sultan. -Malaysiakini

0 ulasan:

Catat Ulasan