Isnin, 14 September 2020

YouTube: Menipu 'iklan pintu belakang'.. Bagaimana?

 Tzuyang mengumpul lebih 2.6 juta penonton untuk rancangan siaran langsung di YouTube memaparkan beliau sedang menikmati makanan popular. - Foto Facebook

Bintang YouTube berdepan denda, terbabit 'pengiklanan pintu belakang'
SEOUL: Tzuyang, remaja dengan selera makan yang besar yang juga YouTuber terkenal di Korea Selatan menghentikan saluran YouTube kendaliannya selepas dikecam hebat kerana didakwa menipu penonton.
Remaja 24 tahun yang mengumpul lebih 2.6 juta penonton untuk rancangan siaran langsung di YouTube memaparkan beliau sedang menikmati makanan popular dengan aksi menikmati 240 chobab atau sushi Korea dan 1.5 kilogram yukhoe iaitu daging mentah dalam episod yang berbeza.


Tzuyang atau nama sebenarnya, Park Jeong-won, dikenal pasti antara beberapa YouTuber di negara itu memaparkan iklan secara tersembunyi membabitkan produk di dalam video dihasilkan.
Kontroversi berkenaan menyebabkan Suruhanjaya Perdagangan Adil (FTC) menyekat kegiatan pengiklanan dalam talian 'menggunakan pintu belakang' sejak 1 September lalu.
FTC mewajibkan semua personaliti media sosial menyatakan secara jelas mengenai promosi produk atau perkhidmatan yang menerima tajaan.
Bagi video yang disiarkan secara langsung, mereka perlu memaklumkan penonton setiap lima minit sekiranya membabitkan iklan berbayar.
Sekiranya didapati menyalahi peraturan berkenaan, personaliti media sosial dan penaja berdepan denda sehingga 500 juta won (AS$422,000).
November lalu, FTC mengenakan denda sebanyak 270 juta won kepada tujuh syarikat termasuk pengeluar barangan perkakasan elektronik British, Dyson dan syarikat gergasi kosmetik di negara itu, Amorepacific kerana terbabit dalam kempen pengiklanan pintu belakang membabitkan personaliti media sosial tertentu di laman Instagram.
Mereka memberikan 1.15 bilion won (RM3.5 juta) secara tunai dan barangan percuma bagi memasukkan iklan produk keluaran mereka di dalam halaman Instagram personaliti media sosial berkenaan.
Bagaimanapun, personaliti media sosial berkenaan tidak dikenakan sebarang hukuman memandangkan tidak ada undang-undang yang mewajibkan penyedia kandungan mendedahkan sebarang tajaan diterima.
Menurut satu kajian oleh Agensi Pengguna Korea, cuma 30 peratus daripada 582 kandungan iklan dipaparkan melalui 60 platform sosial media popular di negara itu di antara Oktober dan November tahun lalu.
Ia menunjukkan kebanyakan personaliti media sosial ditaja dan ia tidak dapat dikesan secara jelas, misalnya mereka hanya memaklumkan perkara itu melalui keterangan dalam video dihasilkan. - AGENSI

0 ulasan:

Catat Ulasan