Jadilah influencer yang bukan sahaja kreatif malah memberi pengaruh baik kepada masyarakat dan bangsa. Gambar hiasan. - Foto 123RF
NAMPAKNYA semakin ramai influencer dan pengasas kosmetik ‘melondehkan’ harga diri apabila sanggup beraksi lucah dan mengeluarkan kata-kata kesat sebagai strategi pemasaran.
Kadang-kadang kita sebagai pengguna media sosial naik seram dan terpaksa beristigfar panjang apabila melayari aplikasi sosial sekarang kerana sudah pasti akan hadir entri-entri ‘mendebarkan’ itu.
Sebenarnya, peranan influencer boleh mempengaruhi masyarakat untuk mempercayai satu-satu produk dan perkhidmatan.
Influencer mampu menjadi ‘trend setter’ baik pada skala kecil mahupun besar dan disebabkan itu ramai pemilik produk dan perniagaan mengupah influencer untuk mempromosikan produk.
Mereka terdiri daripada selebriti, blogger, YouTuber ataupun figura awam yang dianggap penting dalam komuniti dan memiliki pengaruh.
Di mana akal mereka?
Sebelum ini, seorang wanita tanpa rasa malu dan segan telah memuat naik video bersetubuh bersama suami demi melariskan jualan produk kesihatan miliknya.
Wanita itu memuat naik video berdurasi satu saat yang menunjukkan dirinya melakukan aksi ranjang di dalam sebuah bilik tanpa seurat benang.
Difahamkan, video tersebut bagi menunjukkan perubahan pada tubuhnya selepas menggunakan produk pemutihan kulit.
Selain itu, seorang lagi pengasas kecantikan yang aktif di media sosial dikecam gara-gara beraksi lucah dalam video yang dimuat naik di Instagram selepas aksi menayang sebahagian payudara dan ghairah dengan tujuan mempromosi produk kecantikan miliknya.
Tidak lama dahulu, usahawan kosmetik dan produk kesihatan, Datuk Seri Hasmiza Othman, 46, membelanjakan hampir RM1 juta bagi penghasilan video muzik single sulung beliau, I Am Me.
Pengasas produk Qu Puteh itu yang lebih dikenali dengan nama Datuk Seri Vida membelanjakan hampir RM1 juta untuk menghasilkan video muzik lagu tersebut.
Langkah beliau pada awalnya kelihatan seperti mempamerkan kemewahan, namun jika perkara itu dilihat pada masa sekarang, maka benarlah bahawa setiap promosi memerlukan modal dan standard tertentu.
Pelaburan Vida dalam lagu itu tampak berjaya apabila ia menjadi siulan dan ikutan anak-anak muda. Menerusi video terbabit, Vida ditampilkan bersama identitinya yang cukup menyerlah dengan kilauan emas permata dan wang ringgit.
Tetapi video itu juga pernah menjadi isu apabila video dirinya ‘mandi duit’ tular dan mendapat kecaman ramai terutama netizen. Mungkin strategi itu mengena apabila tumpuan ramai terarah kepadanya.
Dalam mengejar rating, jangan sampai ada yang terkena kesan negatif kerana berasa fizikal tidak cantik dan rasa rendah diri.
Baru-baru ini, berlaku kisah yang menyayat hati apabila seorang wanita mengambil keputusan menamatkan riwayatnya kerana tidak tahan kerana menjadi mangsa buli siber.
Wanita itu yang baru berusia 20 tahun amat terkesan dengan individu yang menulis komen jelik selepas satu video TikTok dia dan seorang rakan sekerja warga Bangladesh dimuat naik di laman sosial Facebook.
Ramai netizen mengecam wanita itu sehingga menyebabkannya bertindak membunuh diri.
Misi kejar duit
Sesungguhnya, tindakan ‘trend setter’ banyak mempengaruhi pengguna maya. Sama ada netizen, pengguna produk mahupun influencer itu sendiri. Pengaruh boleh jadi dalam bentuk positif ataupun negatif.
Sebagai influencer kitalah yang sepatutnya menentukan impak pemasaran dan kesan psikologi terhadap orang awam.
Biarpun usaha mencari nafkah melalui perniagaan sangat dituntut dalam agama, namun janganlah sehingga maruah diri direndahkan sedemikian rupa. Demi wang dan demi lariskan produk, sungguh tak masuk akal.
Maka, jadilah influencer yang bukan sahaja kreatif malah memberi pengaruh baik kepada masyarakat dan bangsa. Sebaiknya gunalah saluran yang berkredibel seperti media sama ada media cetak ataupun digital untuk memasarkan produk kalian.
* Ruzy Adila Idris ialah Pengarang Eksekutif Digital Sinar Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan