Mangsa, ibu tunggal berusia 46 tahun berkenalan dengan lelaki itu pada 18 Ogos lalu melalui Facebook.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selepas lebih sebulan berkenalan lelaki terbabit memaklumkan mahu menghantar bungkusan yang mengandungi wang tunai dan pelbagai barangan berharga.
"Selepas itu, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar wakil syarikat penghantaran memintanya membuat bayaran bagi melepaskan bungkusan itu.
"Mangsa yang tidak mengesyaki taktik penipuan itu terus membuat pembayaran dari 24 (Khamis lalu) hingga 29 September (semalam) ke dalam akaun bank yang diberikan.
"Malangnya selepas membuat bayaran berperingkat selama enam hari berjumlah RM65,700 menggunakan wang simpanannya, dia diminta membuat lagi bayaran tambahan sebelum menyedari dia sudah ditipu," katanya, hari ini.
Katanya, mangsa membuat laporan polis semalam bagi meminta polis menyiasat kes berkenaan.
Noorzainy berkata, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah jatuh cinta atau termakan kata-kata manis daripada individu yang baru dikenali melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan Wechat.
"Kes seperti ini bukan kali pertama dilaporkan bahkan sudah berkali-kali terjadi namun masih lagi terdapat mangsa yang ditipu walaupun sudah diingatkan," katanya.
Dalam perkembangan lain, seorang pesara berusia 54 tahun dan suri rumah berusia 28 tahun masing-masing kerugian RM4,000 dan RM3,000 kerana terjerat dengan sindiket pelaburan atas talian serta Macau Scam.
Noorzainy berkata mereka berdua juga datang membuat laporan polis semalam selepas menyedari diri mereka ditipu sindiket penipuan alam maya berkenaan.
Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan