Astaghfirullahalazim.
Betapa hinanya apabila seorang yang bertaraf wakil rakyat yang pernah menjadi menteri sanggup mengungkapkan kata-kata sebegini. Apakah beliau terlalu asyik berpolitik dan berkempen sampai sanggup keluarkan kenyataan menghina dan memperlekehkan wira-wira negara sebegini?
Dalam sebuah ucapan yang tular dan dilaporkan dalam berita, beliau menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing dalam peristiwa berdarah pencerobohan Lahad Datu 2013 dulu.
Lebih menyedihkan lagi, apabila beliau berkata begitu semasa berucap, kedengaran hadirin yang hadir bersorak dan bergelak ketawa pula. Ini bukan sahaja menyedihkan, tetapi saya anggap sebagai satu perkara yang perlu dirisaukan kerana ada yang bersetuju dan menyokong kenyataan itu dengan penuh bersemangat. Inilah yang kita panggil sebagai para 'pentaksub' yang sentiasa bersorak pada apa jua yang diperkatakan oleh pemimpin mereka.
Semestinya, aggota-anggota keselamatan akan tersinggung terutamanya yang pernah terlibat dalam operasi tersebut. Yang pasti paling tersinggung adalah keluarga anggota-anggota keselamatan yang telah terkorban dalam perjuangan mempertahankan Lahad Datu daripada penceroboh itu.
Saya pasti, warga Sabah turut tersinggung akan kata-kata nista bekas menteri PH itu kerana perjuangan mempertahankan Sabah daripada ancaman luar diperlekehkan. Lebih-lebih lagi ketika sekarang, ancaman dari pihak luar terhadap Sabah semakin kian terasa terutamanya isu pertikaian Laut China Selatan dan isu tuntutan Filipina ke atas wilayah Sabah.
Sebab itulah saya katakan dalam ucapan Hari Malaysia saya baru-baru ini, agar rakyat Sabah memilih mereka yang benar-benar patriotik, cintakan negara dan paling penting yang mempunyai kesedaran bahawa kedaulatan Sabah perlu dipertahankan dari ancaman luar.
Bayangkan, apa implikasinya jika pemimpin kawasan anda yang berjaya naik sebagai wakil rakyat (tidak kira kerajaan mahupun pembangkang) tidak peduli pun mengenai keselamatan dan kedaulatan negeri dan negara. Lebih teruk lagi, jika kita tidak cakna, mungkin akan ada yang menjadi talibarut pula.
Sepatutnya semua pihak bersatu padu dalam agenda dan isu yang melibatkan kedaulatan negara, bukannya menjadi bahan dagangan politik murahan kerana musuh di luar sentiasa memerhati.
Jangan hanya menang bersorak, NEGARA tergadai.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
21 September 2020
Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/09/21/mohamaddin-anggap-kes-lahad-datu-hanya-sandiwara/
#MembangunUmatBeragenda
#MengangkatSuaraUmat
____
▪️Telegram: telegram.me/aminuddinyahaya
▪️Twitter: www.twitter.com/AminuddinYahaya
0 ulasan:
Catat Ulasan