Ahad, 13 September 2020

PRN Sabah:PN, BN, PBS sekutu tapi tembung sesama sendiri di 17 DUN


Nampaknya 'pertembungan mesra' antara sahabat politik Perikatan Nasional, BN dan PBS dalam pilihan raya Sabah telah meningkat daripada 11 kerusi menjadi 17 kerusi.


Ini selepas BN dan PBS menukar keputusan perjanjian rundingan mereka dengan meletakkan lebih banyak calon daripada jumlah calon yang telah diumumkan pada hari Khamis.

Satu-satunya ahli sekutu yang memegang kata-katanya ialah PN, yang berjanji untuk bertanding 29 kerusi dalam pilihan raya Sabah dan mengotakannya semasa proses penamaan calon pagi semalam.

PBS berjanji mahu meletakkan 15 calon tetapi hari ini meletakkan 22 calon manakala BN yang berjanji akan meletakkan 40 calon akhirnya menambah bilangan menjadi 41 calon.

Bahkan sebelum hari penamaan calon lagi, parti-parti sekutu yang merujuk sebagai Gabungan Rakyat Sabah itu dijangka bertembung sesama sendiri di 11 kerusi DUN.

Muhyiddin tiba di Kota Kinabalu semalam dalam usaha terakhir untuk menghalang pertembungan di 11 kerusi itu tetapi gagal meleraikan kebuntuan.

Berikut senarai 17 kerusi DUN yang bakal menyaksikan bertembungan sesama sendiri antara BN, PN dan PBS:

N02 Bengkoka - Umno vs PBS
N05 Matunggong - PBRS vs PBS
N07 Tandek - PBRS vs PBS
N11 Kadamaian - PBRS vs PBS
N22 Tanjung Aru - Umno vs PBS
N25 Kapayan - MCA vs PBS
N26 Moyog - Star vs PBS
N34 Lumadan - Umno vs PBS
N38 Paginatan - Umno vs Star vs PBS
N39 Tambunan - Star vs PBS
N40 Bingkor - Star vs PBS
N41 Liawan - Star vs PBS
N42 Melalap - Umno vs PBS
N44 Tulid - Star vs PBRS vs PBS
N45 Sook - Star vs PBRS
N47 Telupid - Umno vs PBS
N54 Karamunting MCA vs PBS

Ketika penamaan calon pagi semalam, BN memutuskan untuk menamakan Jamawi Ja’afar bertanding kerusi DUN Melalap membawakan pertembungan dengan PBS.

Jamawi, sebelum ini berpaling tadah dari Umno untuk menyertai Warisan dan kemudian menyokong idea rampasan kuasa bekas ketua menteri Musa Aman terhadap kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan.

Bagaimanapun, namanya tidak termasuk dalam senarai calon Umno yang diumumkan pada Khamis.

Dengan penglibatan Jamawi, Umno akan bertanding di 32 kerusi, diikuti dengan lima dari PBRS dan empat MCA, membawa kepada jumlah keseluruhan 41 kerusi di bawah naungan BN.

Sementara itu tiga parti menggunakan logo PN, iaitu Bersatu (19 kerusi), STAR (8 kerusi) dan SAPP (dua kerusi). PBS menggunakan logo sendiri.

Kesemua tiga parti ini, kecuali SAPP sebahagian dari kerajaan persekutuan PN tetapi bertanding menggunakan tiga logo berlainan pada PRN Sabah.

Muhyiddin pastikan PN 29 kerusi

Mengikut peraturan pencalonan, calon yang berhasrat untuk bertanding di bawah parti atau gabungan perlu menerima surat watikah. Ia biasa dilakukan oleh ketua parti atau pengerusi gabungan.

Bagi PN, ketuanya ialah Muhyiddin Yaasin dan beliau telah menjelaskan bahawa tidak akan membenarkan sebarang calon tambahan diletakkan selain daripada senarai yang telah diputuskan dalam perbincangan.



Perkara yang sama tidak boleh dijelaskan bagi pihak BN yang diketuai oleh Zahid Hamidi dan PBS yang diketuai Maximus Johnity Ongkili.

Kejutan terbesar mungkin daripada PBS, yang bertanding lebih tujuh kerusi daripada perjanjian yang telah dipersetujui.

Tujuh tambahan kerusi itu ialah DUN Moyog (PBS vs PN), Lumadan (PBS vs BN), Paginatan (PBS vs BN vs PN), Tambunan (PBS vs PN), Bingkor (PBS vs PN), Liawan (PBS vs PN), Tulid (PBS vs BN vs PN).

Kerusi tambahan ini bermaksud PBS dilihat melancarkan 'perang' terhadap sekutu dengan menambah lima kerusi dan memperburuk pertembungan dalaman yang mana BN dan PN sudah pun bertembung sesama sendiri.

Semua pertembungan PBS dengan PN secara khususnya menentang Star manakala pertembungan PBS dengan BN pula menentang calon Umno dan PBRS.

Timbalan Presiden PBS Radin Malleh berkata partinya sebelum ini merancang bertanding 15 kerusi dan turut mengambil maklum akan berlaku pertempuran di sekurang-kurangnya lima kerusi.

“Sudah tentu kami mengambil ini dengan niat baik bahawa pilihan raya akan dijalankan dengan cara untuk memperkukuhkan kedudukan PN di Sabah," katanya.

PBS dakwa ‘pertembungan mesra’

Radin juga berkata, untuk ini PBS telah melakukan analisis di kawasan Kadazan Dusun Murut (KDM) berdasarkan permintaan akar umbi dan memutuskan bertanding enam kerusi.

“Secara kebetulan, kerusi itu diperuntukkan buat Star.

"Mesyuarat pengagihan kerusi yang dipengerusikan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin, sudah tentu kami mengemukakan permintaan untuk bertanding di kerusi ini. Jadi itu bukan perkara baru,” kata Malleh dalam satu kenyataan.

Malleh (gambar, bawah) juga mendakwa Star mencalonkan Anita Baranting di Tandek, kerusi yang diperuntukkan untuk PBS.



Bagaimanapun, semakan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Anita bertanding calon bebas dan bukancalon PN atau Star.

Jelas Malleh PBS juga membuat keputusan untuk bertanding di DUN Lumadan susulan permintaan akar umbi Melayu.

Bagaimanapun, Malleh menegaskan semua pertembungan sesama sendiri ini aadalah “pertembungan mesra” dan menegaskan komitmen PBS untuk bekerjasama. 

"Kami menganggapnya sebagai satu pertembungan mesra. Apa yang penting ialah parti komponen PN memenangi semua kerusi yang ditandingi,” katanya.

Tiada pertembungan antara Warisan Plus 

Sementara itu, tiada pertembungan sesama sendiri antara gabungan saingan BN-PN-PBS, Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, PKR, DAP, Amanah dan Upko.

Walaupun PKR pada mulanya kesal kerana mendapat tujuh dari 14 kerusi yang diinginkannya, namun Presiden PKR Anwar Ibrahim nampaknya menepati janji dengan tidak membenarkan penggunaan logo PKR melebihi tujuh calon berkenaan.



DAP juga bertanding tujuh kerusi manakala Amanah pula bertanding satu kerusi. Kedua-duanya menggunakan logo Warisan.

Menariknya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyenaraikan Amanah bertanding dengan logo sendiri.

Bagaimanapun, pengarah pilihan raya Amanah Sabah Harieyadi Karmin menegaskan Amanah menggunakan logo Warisan, berkata SPR mungkin tersilap.

"Saya rasa ini satu kesilapan. Saya akan merujuk kepada SPR. 

Pencalonan kami diterima oleh SPR sebagai calon Warisan, bukan Amanah," katanya kepada Malaysiakini.

Warisan bertanding 46 kerusi manakala Upko, yang menggunakan logo sendiri, bertanding 12 kerusi.

PRN Sabah: 447 calon 73 kerusi DUN

Pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 447 kertas pencalonan untuk bertanding di 73 kerusi DUN Sabah 26 Sept ini.

Seramai 73 adalah daripada Parti Cinta Sabah (PCS), diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) (53), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47), Parti Liberal Demokratik (LDP) (46), Barisan Nasional (BN) (41), Perikatan Nasional (PN) (29), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (22).

Selain itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebanyak 12 calon, PKR (tujuh), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) (lima), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) (dua) dan masing-masing satu calon bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan).
Seramai 56 calon bebas turut disahkan bertanding pada PRN Sabah.

DUN Bengkoka, menyaksikan calon terbanyak bertanding iaitu 11 penjuru diikuti Inanam dengan pertandingan 10 penjuru.

0 ulasan:

Catat Ulasan