Isnin, 28 September 2020

Bacaan Sujud Sahwi (Panduan Lengkap Rumi)

 Oleh Muhamad Naim


Bagaimana cara melakukan sujud sahwi?

Panduan ini akan membantu anda belajar melaksanakan sujud sahwi dengan betul secara langkah demi langkah.

Bacaan juga dipermudahkan dengan ejaan rumi bagi memudahkan anda yang tidak boleh membaca tulisan arab.

Selain itu, panduan ini turut dilengkapkan dengan soal jawab masalah sering berlaku berkaitan sujud sahwi.

 Semoga membantu.

Pengenalan & Syarat Melakukan Sujud Sahwi

Sahwi disini bermaksud lupa, iaitu lupa dalam melakukan salah satu perbuatan solat yang tertinggal secara tidak sengaja.

Sujud sahwi merupakan dua sujud tambahan sebelum salam bertujuan untuk menutup kekurangan yang terjadi akibat kelupaan tersebut.

Hukum sujud sahwi ialah sunat muakkad.

Sujud sahwi dibolehkan apabila:

1-Lupa membaca tahiyat awal

2-Menambah rukuk atau sujud kerana kelupaan

3-Ragu-ragu dalam jumlah rakaat

4-Tertinggal doa qunut sewaktu solat subuh

 Bacaan Dan Cara Melakukan Sujud Sahwi

Cara-cara melakukan sujud sahwi ialah:

Sujud Sahwi Pertama

Apabila selesai membaca tahiyat akhir dan sebelum salam, terus sujud untuk sujud sahwi pertama dan bacalah sebanyak tiga (3) kali:


 Subhaa na man laa yanaa mu walaa yas-huu 

Maksudnya:

Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa


Sesudah itu, bangkit ke kedudukan antara dua sujud.

Sewaktu ini, boleh dibaca bacaan sebagaimana bacaan antara dua sujud solat fardu atau memadai dengan diam sahaja beserta tamakninah (diam sebentar).

Sujud Sahwi Kedua

Seterusnya lakukan sujud sahwi kedua dan bacalah sebagaimana sujud sahwi pertama sebanyak tiga (3) kali:

 Subhaa na man laa yanaa mu walaa yas-huu 

Maksudnya:

Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa

 Selesai sujud sahwi yang kedua, duduklah kembali sebagaimana duduk tahiyat akhir dan berilah salam.

Maksudnya:

Keselamatan ke atas kamu dan rahmat Allah


Masalah Yang Berhubung Dengan Sujud Sahwi

 Berikut adalah beberapa masalah yang sering timbul berkaitan dengan sujud sahwi:

1.Tertinggal Perkara Fardu / Rukun

Sekiranya tertinggal salah satu daripada fardu atau rukun, solat tidak boleh ditutup dengan sujud sahwi semata-mata.

Ia hendaklah terlebih dahulu melakukan rukun yang tertinggal itu sekiranya jarak tidak jauh dan ia teringat pada waktu sebelum memberi salam.

Contohnya:

Terus sujud dan meninggalkan rukuk (terlupa).

Maka hendaklah dia bangun semula untuk melakukan rukuk dan barulah dilakukan sujud sahwi selepas tahiyat akhir sebelum salam.

Ataupun ia teringat selepas salam, seumpamanya, ia terlupa membaca al-fatihah pada mana-mana rakaat, walaupun ia telah bercakap sikit, maka bolehlah ia menyambung semula solatnya dengan menambah kekurangannya tadi dan disunatkan ia sujud sahwi.

Apabila seseorang itu terlupa melakukan salah satu antara sunat ab’adh ia tidak boleh kembali melakukannya setelah masuk ke rukun seterusnya dengan sempurna.

Contohnya:

Terlupa membaca doa qunut kemudian ia sujud.

Dalam sujud itu baru ia teringat, maka tidak boleh ia bangun semula untuk membaca doa qunut itu.

Tetapi kalau belum sempurna sujudnya, maka bolehlah ia bangun semula untuk berqunut.

Sekiranya ia sudah turun daripada iktidal (berdiri setelah rukuk) dan belum sampai had rukuk, maka ia bangun membaca qunut, ia tidak sunat sujud sahwi.

Tetapi kalau sudah melampaui had rukuk, belum sampai sempurna sujud dia boleh kembali membaca doa qunut, tetapi sunat mengerjakan sujud sahwi.

Begitu juga jika tertinggal membaca tahiyat awal.

Sekiranya dia teringat sebelum naik ke batas rukuk, maka bolehlah ia duduk membaca tahiyat dan tidak sunat sujud sahwi.

Sekiranya dia teringat setelah naik ke batas rukuk, tetapi belum sempurna berdiri, maka sunat ia sujud sahwi.

Sekiranya telah berdiri, maka tidak boleh turun semula.

Bahkan kalau dilakukan juga, maka solatnya terbatal.

Hanya disunatkan sujud sahwi sahaja untuk menampulkan sunat yang tertinggal itu.

2.Terlupa Sujud Sahwi

Sekiranya seseorang itu terlupa sujud sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam, maka bolehlah dia sujud sahwi dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak terlalu lama.

Walau bagaimana pun, kalau tertinggal sujud sahwi itu, tidaklah menjejaskan solat kerana ia sunat sahaja.

3.Imam Terlupa Sujud Sahwi

Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah sujud sahwi setelah imam memberi salam.

4.Tertinggal Sunat Ab’adh

Apabila dia tidak melakukan salah satu daripada sunat-sunat yang menyebabkan sujud sahwi seperti tasyahud awal, qunud dan sebagainya seperti yang telah dijelaskan.

5.Syak Pada Bilangan Rakaat

Apabila dia tidak pasti bilangan rakaat yang telah dilakukan.

Contohnya:

Seseorang yang bersolat zuhur, kemudian syak sama ada dia sudah melakukan 3 atau 4 rakaat.

Maka, dia perlu mengambil bilangan yang sedikit, iaitu 3 rakaat dan menambah satu lagi rakaat serta disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Sumber:akuislam.com


0 ulasan:

Catat Ulasan