Ahad, 23 Jun 2024

WCR 2024: Ambil perhatian serius kejatuhan Malaysia

 

Noor Azlan Ghazali

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil perhatian yang serius tentang kejatuhan Malaysia dalam ranking Daya Saing Global  (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2024 pada minggu lalu.

Pakar ekonomi, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata trend menurun ini sangat jelas dan bertentangan dengan salah satu dari sasaran Ekonomi Madani yang diumumkan pada tahun lalu. 

“Malaysia jatuh dari tangga ke-27 ke tangga ke-34 pada tahun lalu, kedudukan terendah Malaysia sejak tahun 2010. Buat kali pertama Thailand dan Indonesia mengatasi Malaysia, masing-masing ditangga ke-25 dan ke-27. 

“Yang lebih merisaukan saya ialah tren jangka panjang yang jelas menggambarkan Malaysia dalam tren menurun atau lebih tepat jatuh merudum,” katanya dalam suatu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA- UKM) berkata, Malaysia berada dalam julat dalam julat 10 hingga 20 dari 2010 ke 2016.

“Kemudian ia menurun ke julat 20 hingga 30 sehingga 2021. Pada 2022, terendah ke tangga 32 sebelum meningkat sedikit ke tangga 27 tahun 2023. Terkini paling rendah di tangga ke-34. Ini ‘lampu merah’ buat Malaysia. 

“Penarafan daya saing global IMD adalah satu petunjuk penting yang menjadi sandaran dalam menilai daya saing sesebuah negara oleh para pelabur. 

“Kini Malaysia berada di tengah-tengah, menjadi pemisah dalam kalangan 67 buah negara yang dinilai,” jelasnya. 

Noor Azlan berkata, Malaysia pernah berada di kedudukan ke-12 pada 2014 dan mensasarkan untuk terus berada di tangga yang sama pada 2030, namun Amerika Syarikat pula mengungguli tempat berkenaan pada 2024.

“Hanya tinggal enam tahun lagi untuk kita membuat lonjakan 22 anak tangga ke atas. Mustahil? Mungkin? Apa pun yang paling penting ialah kita mesti mengubah trend menurun ini. 

“Setiap sasaran Ekonomi Madani mesti ada pasukan berdedikasi yang meneliti, menyusun strategi, menggerakkan dan memastikan pelaksanaan, memantau dan melapor kemajuan sasaran yang digariskan. 

“Maaf, saya rasa janggal bila mendengar beberapa laporan media yang memaklumkan respons kerajaan ‘akan’ dibuat setelah laporan terperinci disediakan atau dibentang kepada Menteri berkaitan,” katanya.

Beliau mempersoalkan bahawa adakah selama ini tiada pemantauan dan pelaporan secara berterusan atau berkala oleh kerana hal ehwal sebegini seharusnya sampai ke meja Menteri berkenaan lebih awal dari tarikh pengumuman.

“Kelewatan ini tidak sepatutnya berlaku. Daya saing global adalah antara sasaran utama Ekonomi Madani. 

“Ini bukan sasaran Perdana Menteri seorang, ini sasaran negara kita. Mesti dipantau secara rapi dan berterusan. Mesti ada agensi yang  bertanggungjawab. 

Beliau berkata, merujuk kepada 20 sub-petunjuk, berbanding pada 2023, hanya tiga sahaja sub-petunjuk yang meningkat, iaitu pelaburan antarabangsa (dari 29 ke 28), pekerjaan (dari 21 ke 18) dan pendidikan (dari 45 ke 44). 

Katanya, terdapat dua sub-petunjuk iaitu infrastruktur sains, dan kesihatan dan alam sekitar kekal ditangga ke-31 dan ke-42. Peningkatan ini hanya sedikit anak tangga sahaja, tidak signifikan dan masih dalam julat yang sama.

“Selain itu, lima belas sub-petunjuk yang lain semuanya jatuh. Paling teruk ialah produktiviti dan kecekapan iaitu dari tangga ke-36 hingga ke-53. Berbanding sasaran Ekonomi Madani untuk mencapai tangga ke-12 pada 2030 sama seperti pada 2014.

“Cabaran untuk melonjak sangat besar kerana hanya tiga sub-petunjuk iaitu harga, polisi cukai dan infra asas sahaja yang masih bertahan.

“Kesemua 17 sub-petunjuk yang lain telah jatuh, 13 darinya lebih rendah dari tangga ke-30, malah terkini enam sub-pentunjuk berada di tahap 40 ke bawah,” katanya. 

Beliau berkata, tren menurun ini bukan perkara baharu oleh kerana peringatan dan teguran telah dibuat beberapa kali sejak beberapa tahun lalu. 

“Untuk negara kita, bukan mencari salah siapa tetapi mengingatkan kita mesti cari jalan penyelesaian, mengambil tindakan yang berkesan dan segera,” katanya.

Beliau berkata kerajaan tiada pilihan dan menggesa agar mewujudkan segera segera pasukan berdedikasi untuk memastikan setiap sasaran Ekonomi Madani mampu dicapai.

“Jangan sesekali kita terperangkap dengan kelekaan, diandai sebagai ‘kesan burung unta’ yang sering membenamkan kepalanya dalam pasir bila berhadapan dengan cabaran dan menganggap tiada masalah yang kita hadapi, semua okey.

“Saya amat yakin, ketegasan dan komitmen Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk melonjakkan negara menjadi sebuah negara yang hebat dan dihormati setidaknya di Asia, bukanlah satu angan-angan kosong. 

“Tidak mustahil. Usaha gigih Anwar Ibrahim menarik pelaburan jelas. Namun sekiranya daya saing kita terjejas, terus menurun, Malaysia berisiko ketinggalan,” katanya.

Terdahulu katanya, beliau pernah menyatakan perkara ini dengan jelas berserta fakta dalam Syarahan Perdana di UKM pada 11 Jun lalu.

“Dunia berubah pantas. Kita tidak boleh leka. Saranan saya menegaskan perkara-perkara utama yang perlu ditangani, kita mampu mengembalikan kekuatan kita. 

“Keseluruhan jentera kerajaan dan juga semua kita industri dan masyarakat ada peranan yang perlu kita laksanakan. Sebahagian dari tindakan-tindakan yang perlu berkemungkinan pahit bagi sesetengah pihak. 

“Namun, seperti lazim, ‘no pain-no gain’. Kita boleh usahakan dengan kebijakan yang ada supaya ‘kesakitan’ itu dikurangkan dan sementara. Malaysia perlu bertindak segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

0 ulasan:

Catat Ulasan