Sebanyak 98 peratus daripada 10 juta populasi Tajikistan merupakan penganut agama Islam. (FOTO: CABAR.Asia)

NEW YORK: Pertubuhan hak sivil dan advokasi sivil Islam terbesar di Amerika, Council on American-Islamic Relations (CAIR),  mengecam undang-undang baharu Tajikistan yang bertujuan melarang pemakaian hijab dalam kalangan wanita di negara tersebut.

Pengarah Penyelidikan dan Advokasi CAIR, Corey Saylor, menyatakan kebimbangan terhadap implikasi undang-undang sedemikian, mengecamnya dalam satu kenyataan pada Jumaat, waktu tempatan, melabelkannya sebagai ‘pelanggaran serius kebebasan beragama’.


“Mengharamkan hijab adalah pencabulan kebebasan beragama dan larangan seperti itu terhadap pakaian keagamaan tidak sepatutnya mendapat tempat di mana-mana negara yang menghormati hak rakyatnya,” kata Saylor.

Sehubungan itu, beliau menekankan komitmen CAIR yang tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan hak umat Islam di dalam dan di luar negara AS, lapor TRT World.

“Kami mengecam undang-undang yang zalim dan menindas ini dan menggesa kerajaan Tajikistan untuk membatalkan keputusan ini,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, menurut laporan media, di bawah undang-undang yang baharu digubal, individu yang memakai tudung atau pakaian agama terlarang lain di Tajikistan boleh didenda sehingga 7,920 somoni (kira-kira RM3,298). 

Sementara, syarikat yang membenarkan pekerja memakai pakaian terlarang itu berdepan penalti sebanyak 39,500 somonis (RM16,492). 

Pegawai kerajaan pula tertakluk kepada denda yang lebih tinggi antara 54,000 hingga 57,600 somonis (RM22,618 hingga RM24,031) jika didapati melanggar undang-undang sekatan berkenaan.

Daripada populasi Tajikistan yang berjumlah kira-kira 10 juta orang, menurut penyelidikan oleh Pew g Group, 98 peratus  dikenal pasti sebagai Muslim. – HARAKAHDAILY 22/6/2024