DORTMUND, Jerman: Portugal melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir Euro 2024 sebentar tadi selepas mudah mengatasi Turkiye 3-0 sekali gus memastikan muncul juara Kumpulan F.
Penamat memukau Bernardo Silva pada minit ke-21, gol sendiri memalukan Samet Akaydin sejurus kemudian dan tampanan mudah Bruno Fernandes pada babak kedua memberikan Portugal kemenangan selesa di depan peminat Turkiye yang bersemangat di Dortmund.
Portugal muncul antara pasukan yang menyasar untuk memenangi Kejuaraan Eropah kedua selepas kejayaan pada 2016, barisan dipenuhi bintang mereka mudah menangani cabaran pasukan kendalian Vincenzo Montella.
Cristiano Ronaldo sekurang-kurangnya mempunyai dua peluang lagi untuk muncul penjaring gol paling tua pada Kejuaraan Eropah ketika pengurusnya Roberto Martinez menyatakan pemain berusia 39 tahun itu berada pada tahap kecergasan terbaik untuk bermain setiap empat hari.
Malah Ronaldo tidak tamak apabila mengumpan kepada Fernandes bagi menjaringkan gol mudah pada minit ke-56 selepas melepasi perangkap ofsaid Turkiye dan dia kemudian mempunyai masa untuk berswafoto dengan peminat muda yang menceroboh masuk ke padang pada pertengahan babak kedua.
Pasukan Martinez, dengan enam mata penuh, akan berdepan satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik pada pusingan berikutnya dan menghadapi perlawanan terakhir kumpulan menentang Georgia tanpa sebarang tekanan.
Ia tidak sama dengan Turkiye yang perlu seri menentang Republik Czech awal pagi Khamis ini untuk memastikan muncul naib juara kumpulan.
Ada jurang besar antara kedua-dua pasukan itu sebaik perlawanan bermula dan Portugal berhak mendahului menerusi Silva apabila pemain tengah Manchester city itu dengan yakin merembat masuk hantaran leret Nuno Mendes yang terbias.
Tidak lama selepas itu, Akaydin memberikan Portugal kelebihan dua gol apabila hantaran ke belakangnya ternyata berubah menjadi gol sendiri dengan Zeki Celik dan penjaga gol Altay Bayindir gagal dalam usaha menghalang bola daripada melepasi garisan gol.
Dua gol itu dan dominasi pemain Portugal melenyapkan gegak-gempita penonton dan keputusan itu dimuktamadkan apabila Fernandes menampan masuk hantaran bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Ronaldo.
Penyokong Portugal kemudian berteriak dan membingitkan suasana untuk meraikan kejayaan negara mereka layak ke pusingan 16 terakhir. – AFP
0 ulasan:
Catat Ulasan