RAMAI yang menerima daging korban pada musim ibadah berkenaan hinggakan boleh dijadikan stok di dalam peti ais di kediamannya.
Bukan sahaja melibatkan peserta korban, tetapi juga orang ramai yang menerima agihan daging berkenaan.
Namun memikirkan terdapat pandangan mengatakan larangan menyimpan daging korban lebih tiga hari, hati dirundung perasaan gusar.
Bukan apa, bimbang daging itu tidak sempat habis sebelum tempoh berkenaan dek kerana ‘termakan’ pendapat tersebut.
Bagi meleraikan kekeliruan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus memberi pencerahan menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.
Baik peserta ibadah korban mahupun penerima daging korban, jelas beliau, harus hukumnya bagi mereka menyimpan daging berkenaan sama ada kurang atau lebih dari tiga hari.
“Memang dahulu terdapat larangan menyimpan daging korban lebih tiga hari, tetapi tegahan itu telah dibatalkan.
“Oleh sebab itu, seseorang boleh menyimpan lebih dari tiga hari sesuai dengan kehendak masing-masing atau mereka memakannya. Tidak kiralah sama ada si penerima daging korban itu orang miskin atau kaya,” katanya.
Jabir bin Abdillah RA meriwayatkan bahawa: “Daripada Nabi Muhammad SAW, sesungguhnya dahulu Baginda melarang makan daging korban selepas tiga hari kemudian selepas itu bersabda: “Makanlah kami sekalian dan berbekallah dan simpanlah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya dahulu aku telah haramkan segala daging korban melebihi tiga hari, maka sekarang makanlah kamu sekalian dan berbekallah dan simpanlah barang sekehendak kamu sekalian.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam satu riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Makanlah kamu sekalian dan jamulah orang-orang makan dan simpanlah oleh kamu sekalian.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kepada para peserta korban, Azhar mengingatkan agar segera memakan daging korban mereka.
“Ketahuilah bermula yang afdal adalah dimakan dengan segera daging korban itu oleh tuan korban (jika melibatkan korban sunat). Ini kerana memakan daging korban itu adalah ibadah. Maka lebih cepat (makan) adalah lebih elok.
“Akan tetapi, harus hukumnya tuan korban tadi menyimpan daging korban (bahagiannya) untuk dimakan pada masa yang dia kehendaki,” katanya.
Sementara itu, bagi daging korban yang ingin dihadiahkan kepada saudara-mara mahupun sahabat handai, Azhar menjelaskan, afdal supaya ia segera dibahagikan.
“Daging yang hendak disedekahkan kepada orang miskin adalah makruh disimpan jika wujud orang miskin yang memerlukannya.
“Oleh sebab itu, jika dia hendak menyimpan daging korban, hendaklah hanya simpan bahagian dirinya sahaja.
“Seandainya orang miskin belum datang, maka harus hukumnya menyimpan daging korban bahagian mereka kerana menunggu kedatangan mereka,” terangnya panjang lebar.
Fakta sama turut dinyatakan oleh Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya sebelum ini.
Ujar beliau, Rasulullah SAW pernah melarang daging korban disimpan lebih tiga hari.
“Menurut Imam An-Nawawi, larangan tersebut berjalan selama setahun sebelum dimansuhkan kemudian.
“Baginda SAW selepas itu mengizinkan kembali kerana hukum (tegahan menyimpan daging korban lebih tiga hari) itu sudah dimansuhkan atau situasi dan keadaan sudah berubah,” katanya.
Justeru jelas beliau, tiada masalah jika daging korban yang akan dimakan sendiri dan keluarga disimpan selama mana pun.
“Menurut Mazhab Syafie, diharuskan untuk menyimpan daging korban walaupun melebihi tiga hari asalkan ia tidak rosak atau busuk hingga menyebabkan pembaziran.
“Namun, tidak digalakkan jika ia melibatkan daging korban yang ingin disedekahkan atau dihadiahkan disimpan dalam tempoh lama kerana ia sunat diagihkan secepat mungkin,” katanya.
-SH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan