Jumaat, 7 Jun 2024

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-83: WANITA KEMATIAN SUAMI SEMASA MELAKUKAN HAJI, ADAKAH WAJIB PULANG?

 


Soalan:

Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Seorang isteri mendapat panggilan haji pada tahun tersebut dan dia berhasrat untuk menunaikannya setelah mendapat keizinan suami. Dalam perjalanan untuk menunaikan ibadah haji, suaminya meninggal dunia. Persoalannya, bolehkah isteri tersebut meneruskan haji atau dia perlu pulang semula kerana dia berada dalam tempoh iddah? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan jawapan

Secara asasnya, wanita yang menjalani iddah kematian suami tidak boleh melaksanakan haji kerana perkara ini memerlukan dirinya bermusafir dan keluar daripada rumah. Namun, sekiranya wanita itu sudah berada dalam perjalanan haji atau sudah tiba di Tanah Haram, maka dia dibenarkan untuk meneruskan ibadah haji. Hal ini kerana, kesukaran yang dialami jika dia pulang ke rumah mungkin lebih besar daripada dia meneruskan ibadah haji. Semasa tempoh tersebut, wanita wajib menjaga adab dan segala larangan ihdad (berkabung) semampu mungkin seperti membataskan diri dengan melakukan perkara wajib haji dan rukunnya sahaja, meninggalkan perjalanan ziarah serta perhiasan diri, tidak solat berjemaah di masjid, tidak keluar membeli belah dan sebagainya.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Antara kewajipan yang ditetapkan oleh syarak kepada wanita yang diceraikan oleh suami sama ada dicerai hidup atau berpisah mati adalah beriddah dalam tempoh tertentu. Tempoh iddah bagi isteri kematian suami adalah empat bulan sepuluh hari sebagaimana firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِي أَنفُسِهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.”

Surah al-Baqarah (234)

Para ulama menyatakan bahawa wanita yang beriddah wajib kekal menetap di rumah kediamannya selama tempoh tersebut, malah berdosa hukumnya jika mereka keluar tanpa sebarang keperluan yang dibenarkan oleh syarak. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zainab binti Ka’ab bin ‘Ujrah berkenaan Furai’ah binti Malik Ibn Sinan, yang mana beliau telah kematian suaminya lalu berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya berkenaan dirinya sama ada dia dibenarkan untuk pulang ke pangkuan ahli keluarganya di Bani Khudrah ataupun tidak. Kemudian, baginda SAW bersabda:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya: “Tetaplah kamu di rumahmu sehingga sampai apa yang telah ditetapkan (selesai tempoh iddah).”

(Riwayat Abu Daud)

Batasan-batasan hukum yang mesti dipatuhi oleh wanita yang beriddah kematian suami, antaranya[1]:

  • Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
  • Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan.
  • Wajib berkabung sepanjang tempoh iddah. Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan.

Justeru, difahami daripada hujah di atas bahawa wanita yang beriddah kematian suami adalah dilarang daripada menunaikan ibadah haji dan perlu menangguhkan perjalanannya sekiranya masih berada di tanah air. Namun, para ulama berselisih pendapat dalam menentukan hukum haji bagi wanita beriddah yang sedang berada dalam perjalanan permusafiran atau sudah tiba di tanah suci.

Imam al-Nawawi menyatakan dalam hal ini:

ولو أذن في الانتقال إلى بلد فكمسكن أو سفر حج أو تجارة ثم وجبت في الطريق فلها الرجوع والمضي

Maksudnya: “Jika isteri diberi keizinan (oleh suami) untuk berpindah ke satu negara lain seperti tempat tinggal atau melakukan perjalanan haji atau menjalankan perniagaan, kemudian dia diwajibkan (beriddah) semasa perjalanan itu, maka dibenarkan baginya untuk pulang atau meneruskan perjalanan.” [2]

Syeikh Khatib al-Syirbini kemudiannya menghuraikan pendapat yang membenarkan wanita iddah meneruskan permusafirannya. Beliau menyebutkan bahawa keharusan perjalanan ini adalah untuk menghilangkan kesusahan (masyaqqah) yang mungkin dialami oleh wanita iddah jika dia diwajibkan pulang ke rumah kediamannya dalam tempoh permusafiran itu. Lebih-lebih lagi apabila jarak permusafiran itu sudah jauh daripada negaranya dan perasaan khuatir jika dia terpisah daripada kumpulan musafirnya. Akan tetapi, wanita dalam situasi ini lebih afdal jika dia pulang ke kediaman suaminya menurut pandangan Syeikh Abu Hamid.

Akan tetapi, sekiranya isteri itu kematian suami sebelum dia sempat keluar bermusafir, maka dia diharamkan untuk keluar bermusafir. Adapun, sekiranya isteri itu kematian suami semasa dia baru memulakan perjalanan musafir dan belum melepasi kawasan pemukiman, maka dia wajib pulang ke rumah dan beriddah.[3]

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa wanita yang memilih untuk meneruskan perjalanan musafir dan menetap di suatu negara lain, maka mereka wajib membataskan pergerakan dengan melakukan perkara-perkara penting dan berkeperluan sahaja. Selepas selesai keperluannya dan masih terdapat baki tempoh iddah, maka wajib bersegera untuk pulang bagi menyempurnakan iddah di rumah kediaman kerana hukum asal tersebut masih lagi tertanggung atas wanita tersebut[4].

Kesimpulan

  1. Secara asasnya, wanita yang menjalani iddah kematian suami tidak boleh melaksanakan haji kerana itu memerlukan dia bermusafir dan keluar daripada rumahnya.
  2. Namun, sekiranya wanita tersebut sudah berada dalam perjalanan haji atau sudah tiba di Tanah Haram, maka dia dibenarkan untuk meneruskan ibadah haji. Hal ini kerana, kesukaran yang dialami jika dia pulang ke rumahnya mungkin lebih besar daripada dia meneruskan ibadah haji.
  3. Semasa tempoh tersebut, wanita wajib menjaga adab dan segala larangan dalam tempoh berkabung (ihdad) semampu mungkin seperti membataskan diri dengan melakukan perkara wajib haji dan rukunnya sahaja, meninggalkan perjalanan ziarah, meninggalkan perhiasan diri, tidak keluar solat berjemaah di masjid, tidak keluar membeli belah dan sebagainya.

Wallahu a'lam

Rujukan: 

[1] https://www.islam.gov.my/en/guideline/479-garis-panduan-ber-iddah-bagi-wanita-yang-bercerai-atau-kematian-suami

[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf. Minhaj al-Talibin wa Umdat al-Muftin fi al-Fiqh. (t.p: Dar al-Fikr, 2005). Hlm 257.

[3] Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (t.p: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 5. Hlm 108.

لِأَنَّ فِي قَطْعِهَا عَنْ السَّفَرِ مَشَقَّةٌ، لَا سِيَّمَا إذَا بَعُدَتْ عَنْ الْبَلَدِ وَخَافَتْ الِانْقِطَاعَ عَنْ الرُّفْقَةِ، وَلَكِنَّ الْأَفْضَلَ الرُّجُوعُ وَالْعَوْدُ إلَى الْمَنْزِلِ كَمَا نَقَلَاهُ عَنْ الشَّيْخِ أَبِي حَامِدٍ وَأَقَرَّاهُ، وَهِيَ فِي سَيْرِهَا مُعْتَدَّةٌ، وَخَرَجَ بِالطَّرِيقِ مَا لَوْ وَجَبَتْ قَبْلَ الْخُرُوجِ مِنْ الْمَنْزِلِ فَلَا تَخْرُجُ قَطْعًا، وَمَا لَوْ وَجَبَتْ فِيهِ وَلَمْ تُفَارِقْ عُمْرَانَ الْبُلْدَانِ فَإِنَّهُ يَجِبُ الْعَوْدُ فِي الْأَصَحِّ عِنْدَ الْجُمْهُورِ كَمَا فِي أَصْلِ الرَّوْضَةِ لِأَنَّهَا لَمْ تَشْرَعْ فِي السَّفَرِ

[4] Ibid.

فَإِنْ) لَمْ تَرْجِعْ فِيمَا إذَا خُيِّرَتْ وَ (مَضَتْ) لِمَقْصَدِهَا أَوْ بَلَغَتْهُ (أَقَامَتْ) فِيهِ (لِقَضَاءِ حَاجَتِهَا) مِنْ غَيْرِ زِيَادَةٍ عَمَلًا بِحَسَبِ الْحَاجَةِ…(ثُمَّ يَجِبُ) عَلَيْهَا بَعْدَ قَضَاءِ حَاجَتِهَا (الرُّجُوعُ) فِي الْحَالِ (لِتَعْتَدَّ الْبَقِيَّةَ) مِنْ الْعِدَّةِ (فِي الْمَسْكَنِ) الَّذِي فَارَقَتْهُ لِأَنَّهُ الْأَصْلُ فِي ذَلِكَ

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan