Tindakan menggelar PM sebagai rakan subahat Zionis Israel adalah melampau dan biadap, kata setiausaha politiknya, Kamil Munim.
Kamil Munim memberitahu Khairy Jamaluddin agar tidak hipokrit dan terbawa-bawa dengan emosi apabila mengeluarkan kenyataan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan tidak pernah mempertahankan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan rejim Zionis Israel, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan Kamil Munim.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan bekas menteri Khairy Jamaluddin yang mendakwa penglibatan BlackRock, syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel, dalam pegangan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“Pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan dalam isu keganasan Israel terhadap rakyat Palestin adalah jelas dan kita adalah yang paling lantang dalam mempertahan serta membela nasib rakyat di Palestin.
“Justeru menggelar (beliau) sebagai rakan subahat Zionis Israel dalam jenayah genosid adalah melampau dan biadap,” katanya dalam kenyataan.
Kamil berkata, Khairy boleh mengkritik tetapi pada masa sama, beliau harus lebih bertanggungjawab, tidak hipokrit dan tidak terbawa-bawa dengan emosi apabila mengeluarkan kenyataan.
Menurutnya, MAHB melalui Khazanah Nasional Berhad sudah memberi penjelasan bahawa rundingan telah diadakan dengan pihak Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah konsortium yang mengumumkan tawaran mengambil alih MAHB pada 15 Mei lepas.
“BlackRock hanya muncul pada tahun ini apabila berhasrat mengambil alih pegangan saham GIP. Dalam hal ini, Khazanah mahupun KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) tidak pernah berunding dengan mana-mana wakil BlackRock.
“Khazanah dan KWSP tidak menjual MAHB kepada entiti asing sebaliknya terus meningkatkan pegangan sahamnya hingga 70%. Malah aset strategik ini juga akan terus dimiliki negara melalui Golden Share oleh kerajaan Malaysia,” katanya.
GIP ialah pelabur prasarana terkemuka yang menguruskan aset bernilai USD112 bilion bagi pihak pelaburnya, merangkumi kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.
Konsortium itu juga memiliki kepakaran dalam pelaburan, pengurusan dan pengoperasian antara perniagaan prasarana terbesar serta paling rumit di dunia, termasuk beberapa lapangan terbang.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan