malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 25, 2024 5:05 PMPembangkang tidak pernah membantah pemilikan ekuiti firma-firma tempatan yang diperolehi oleh Blackrock melalui pasaran terbuka.
Sebaliknya, setiausaha akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim berkata isu sebenar yang dibantah pembangkang ialah cadangan kerajaan untuk menjual pegangan yang begitu besar dalam Malaysia Airline Holding Bhd (MAHB).
MAHB katanya mengawal 39 lapangan terbang dan dilihat sebagai aset strategik negara.
Dia berkata demikian ketika mengulas cabaran Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menggesa kerajaan Kedah dan Kelantan menutup kilang-kilang milik Blackrock di dua negeri itu.
"Nik Nazmi sudah tentu memahami bahawa sebarang urusan termasuk keputusan dan tindakan dalam pentadbiran adalah berlandaskan tatacara, tatakelola dan undang-undang yang termaktub dalam satu sistem pentadbiran yang konkrit.
"Justeru, tindakan menutup kilang yang sudah diluluskan untuk beroperasi tidak boleh dilakukan begitu sahaja.
"Isu sebenar di sebalik bantahan oleh pembangkang tidak ada kaitan dengan pemilikan ekuiti firma-firma tempatan yang diperolehi oleh Blackrock melalui pasaran terbuka," katanya dipetik portal HarakahDaily.
Katanya, lapangan terbang bagi mana-mana negara termasuk dalam senarai aset strategik.
"Lapangan terbang juga adalah lokasi yang sangat sensitif. Ia adalah pintu masuk dan keluar bagi sesebuah negara melalui perjalanan udara. Ia juga adalah pintu kedaulatan dan keselamatan sesebuah pemerintahan.
"Memberi milikan kepada pihak luar yang jika tidak sampai 30 peratus sekalipun, boleh dikira suatu langkah yang sumbang, apatah lagi dengan ekuiti sebanyak itu yang akan memberikan mereka kuasa mengawal.
"Ia tetap sumbang, pelik, janggal lagi membahayakan jika pihak yang bakal mengambil alih pegangan 30 peratus itu bukan Blackrock sekalipun. Keputusan ini seumpama memberi hak untuk menjaga pintu rumah kita kepada seseorang yang dicurigai," katanya.
Sebelum ini, Nik Nazmi yang juga menteri sumber asli dan kelestarian alam mencabar PN menutup semua kilang milik Blackrock di Kedah dan Kelantan yang dipimpin oleh pakatan pembangkang.
Nik Nazmi mengkritik pihak yang menurutnya mempolitikkan isu berkaitan Blackrock Inc, dan menyorot bahawa isu itu tidak ditimbulkan ketika PN berkuasa.
"Jadi saya nak cabar kalau ada orang PN yang nak minta kita tidak berurusan dengan mereka (Blackrock) langsung, maka mereka juga kena cepat cepat tutup kilang-kilang tersebut.
“Biar pekerja-pekerja tu hilang kerja. Dan kita boleh bincang,” kata nya semasa kempen PH di Sungai Bakap.
-Wak Labu Farm
0 ulasan:
Catat Ulasan