Jumaat, 21 Ogos 2020

Pemuda DAP didakwa hina Bahasa Melayu - tampal pelekat bahasa Cina


Tindakan Pemuda DAP (Dapsy) Sarawak menampal pelekat dalam bahasa Cina di beberapa buah papan tanda jalan di sekitar bandar raya ini boleh dianggap sebagai perbuatan tidak peka dengan sentimen masyarakat majmuk di negeri ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata perbuatan ini juga melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

“DAP tidak sepatutnya mengheret DBKU dalam (memenuhi kehendak agenda) politik mereka. Mereka tidak sepatutnya terikut-ikut dengan apa yang dilakukan (tanpa mengambil kira sensitiviti di antara kaum seperti) di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan sekumpulan ahli DAPSY Sarawak hari ini yang menampalkan pelekat dalam bahasa Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya ini atas alasan ia perlu diterjemahkan dalam bahasa itu untuk keperluan pelancong dari China.

Tindakan yang diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan itu turut ditularkan di media sosial dan telah mengundang pelbagai komen daripada netizen.



Menurut Dr Abdul Rahman, tindakan itu dianggap vandalisme dan melanggar peraturan DBKU kerana ia tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan tindakan Dapsy Sarawak ini sebagai sengaja untuk mengeksploitasikan isu bahasa yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Katanya, Pemuda PBB yakin semua rakyat di Sarawak yang terdiri dari pelbagai latar belakang kaum dan agama menyayangi bahasa dan budaya masing-masing tetapi pada masa yang sama perlu bersikap realistik dalam mempertahankan keharmonian kaum yang dinikmati selama ini.

“Budaya politik negatif sebegini sememangnya tidak diterima di Sarawak yang amat menghargai perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.

0 ulasan:

Catat Ulasan