Khamis, 20 Ogos 2020

Mengenali Zionis Fahaman Paling Melampau Oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang

HIJRAH RAKYAT MALAYSIA RABBANI NEGARA HARMONI


Sultan Abdul Hamid II (Khalifah ‘Uthmaniyyah Turki) menunjukkan suatu pengorbanan yang menjadi peristiwa paling bersejarah apabila Baginda mempertahankan tanah suci Palestin khususnya Baitul Maqdis daripada menjadi milik Zionis.

Sultan Abdul Hamid II lebih rela mati dalam buangan di pulau terpencil, sekalipun ditawarkan suapan rasuah paling mahal dan janji oleh pemimpin Zionis, Theodor Herzl untuk mengekalkan takhtanya.

Namun begitu, Sultan Abdul Hamid II tetap menolak dengan tegas.

Allah SWT berjanji bahawa hanya Islam yang akan menyelamatkan manusia, firmanNya:
﴿إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا  إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ٣٨ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا  وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ٣٩ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ  وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا  وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ  إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠﴾
“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi kufur (tidak bersyukur di atas ni’matnya). (38);

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan yang zalim), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). (39);

Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”.

Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (40).” (Surah al-Hajj: 38-40)

Walaupun sebab turunnya ayat-ayat tersebut bekenaan Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang berakhir dengan kemenangan Fathu Makkah, tetapi al-Quran adalah mukjizat yang mengandungi petunjuk di sepanjang zaman.

Usaha untuk menormalisasikan Zionis yang paling melampau itu, adalah satu tindakan yang sangat tidak adil sehingga menganggap Zionis yang merampas, meroboh rumah kediaman dan kebun rakyat Palestin itu berhak melakukan apa sahaja sewenang-wenangnya. Adapun rakyat Palestin yang bangkit mempertahankan hak mereka pula dianggap sebagai pelampau.

Zionis sudah mempunyai loji nuklear yang mampu mengadakan senjata pemusnah sejak tahun 1960-an lagi dan dibekalkan senjata yang boleh membunuh tanpa batas, namun dianggap mereka itu mempertahankan hak.

Adapun kebangkitan rakyat Palestin bersenjatakan batu dan belon itu pula dianggap sebagai pengganas.
Rasulullah SAW telah berjanji dalam hadis yang sahih:
"لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّيْنِ ظَاهِرِيْنَ، لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِيْنَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ. وَهُمْ كَذَلِكَ"، قالوا: "يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟" قال: "بِبِيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ."
“Masih ada di kalangan umatku kumpulan yang menegakkan agama (Islam), mereka gagah perkasa menghadapi musuh, sehingga tidak boleh dimudaratkan oleh orang yang menentang (atau mengecewakan), melainkan sekadar kumpulan itu menghadapi kesulitan, sehingga datangnya urusan Allah (memenangkan mereka), mereka terus tidak berganjak. Lalu mereka bertanyakan Rasulullah SAW: “Di manakah adanya mereka.” Sabda Rasulullah SAW: “Di Baitul Maqdis dan di sekitarnya.” (Riwayat Ahmad 22320 dan al-Thabrani 7643)

Hadis Rasulullah SAW di atas menjadi bukti akan kebenaran yang menunjukkan bahawa rakyat Palestin pasti menang. Mereka yang mengecewakan Palestin pasti gagal, walaupun kumpulan pelampau Zionis ini dapat menguasai Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, serta politik wang dan media perdana di semua negara kuasa besar dunia, kerana Allah berjanji:
﴿وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِنْدَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِنْ كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ  إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ٤٧﴾
“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. (46); Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi sedia membalas (orang-orang yang menderhaka kepadaNya. (47).” (Surah Ibrahim: 46-47)

Maka pergi jahanamlah mereka yang menormalisasikan pengganas Zionis dengan segala cara dan bila-bila masa sahaja. Biarkan mereka yang buta al-Quran tenggelam bersamanya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Zulhijjah 1441 / 19 Ogos 2020


0 ulasan:

Catat Ulasan