Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ditubuhkan untuk menggantikan Umno dan Bersatu yang didakwa kini tersasar daripada matlamat asal.
Berucap di ceramah malam tadi, Pengerusi Pejuang itu yang turun berkempen untuk calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berkata bahawa Umno dan Bersatu juga perludigantikan kerana mengamalkan rasuah serta mementingkan poket sendiri.
"Salah satu daripada sebab besar kita menubuhkan parti baru ini ialah untuk membersihkan politik dalam negara kita iaitu politik wang.
"Politik (hari ini) bukan berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air, tetapi politik yang mengisi poket sahaja.
"Di sini kita PRK Slim bukan nak tukar kerajaan, tapi PRK ini amat penting untuk penduduk Slim menunjukkan kepada kerajaan dan seluruh Malaysia bahawa rakyat tidak suka cara politik wang yang ada sekarang.
"Kita nak hapuskan sistem sogokan dan rasuah. Pejuang ditubuh untuk gantikan Umno dan Bersatu," katanya di hadapan lebih 1,000 hadirin di Felda Trolak Utara, Perak.
Turut hadir Presiden Amanah Mohamad Sabu; Menteri Besar Selangor Amirudin Shari;selain beberapa anggota parlimen termasuk Mukhriz Mahathir (Jerlun), Dr DzukiflyAhmad (Kuala Selangor), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Hatta Ramli (Lumut).
Tidak ketinggalan bekas setiausaha agung Bersatu, Marzuki Yahya.
Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru pada 12 Ogos serentak dengan pengisytihan Amir Khusyairi sebagai calon mereka yang terpaksa bertanding sebagai calon bebas kerana permohonan pendaftaran Pejuang masih diproses Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.
Lawan bukan dengan hujah
Untuk rekod, Bersatu ditubuhkan oleh Mahathir pada tahun 2016 selepas dia keluar dari Umno. Namun, pengerusi Bersatu itu hilang keahlian dalam partinya kerana tidak sehaluan dengan Presiden Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Mahathir berkata pemimpin Pejuang tidak akan melompat ke parti lain atau boleh dibeli oleh sesiapa.
Katanya hal itu berbeza daripada beberapa peristiwa yang berlaku dalam politik negara mutakhir ini, termasuk di Sabah.
"Baru-baru ini kita lihat di Sabah apabila diperintah oleh parti Warisan yang bersekutu dengan kita.
"Dia (Muhyiddin) nak jatuhkan parti Warisan ini bukan dengan hujah, bukan dengan memberitahu parti Warisan itu tidak baik, tetapi dengan membeli 13 wakil rakyat yang ada dalam Warisan.
"Ini cara Muhyiddin dapat sokongan. Saya terkejut dengar ada yang dibayar RM32 juta cuma untuk keluar daripada Warisan. Ada juga yang dapat RM5 juta.
"Kami parti Pejuang kami semua berjanji tidak ada penjualan," katanya.
Mahathir juga turut memberi jaminan bahawa Amir Khusyairi tidak akan berbuat demikian.
"Saya percaya Amir tidak akan berbuat demikian.
"Apabila saya panggil dia, tanya dia, nak jual atau tidak... dia kata tidak dijual," katanya lagi.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.
Selain Amir Khusyairi, Calon BN Mohd Zaidi Aziz dan seorang calon Bebas Santharasekaran Subramaniam bertanding dalam pertandingan tiga penjuru.
Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.
0 ulasan:
Catat Ulasan