Sanusi Md Nor
Katanya, beliau terpaksa menjelaskan kepada umum berikutan, ahli perniagaan itu telah menular rakaman suara perbualan singkatnya dengan lelaki terbabit, ketika memasuki restoran berkenaan.
Menurutnya, jika diimbau kembali urutan kejadian pada malam itu, jelas sekali lelaki terbabit yang memperkenalkan dirinya sebagai orang Kedah, telah salah faham dengan jawapannya apabila diajak berbual.
Berikut Muhammad Sanusi mencoretkan kejadian itu menerusi akaun Facebooknya, hari ini:
Saya berada di Kuala Lumur pada 13 hingga 15 Ogos 2020 untuk Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), mesyuarat dengan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan beberapa urusan lain.
Pada 14 Ogos, lebih kurang jam 8.30 malam, ketika perut sedang menyanyi (lapar), saya menaiki grab dari Hotel Tamu Kampung Baru ke Restoran Wadi Hadramawt di Ampang untuk makan malam bersama pegawai saya, Shahril Rizal Ismail.
Dalam perjalanan ke sana seorang rakan lama, bekerja sebagai salesman kereta berbangsa Cina menghubungi saya, ajak minum kerana dia mendapat maklumat saya ada di Kuala Lumpur.
Kata saya, dia telah terlambat kerana saya sedang menuju tempat makan. Dia maklumkan akan ke restoran itu jika sempat.
Saya masuk ke restoran dan seorang rakan lama, Ir. Khairul Faizi (rakan sebilik di Mekah dan masuk parti Bersatu, kerja terakhir di UPM Holding) menerpa keluar dari dalam restoran menyapa saya.
Dia sedang makan dengan ramai ahli keluarganya. Selepas berbual seketika, saya mengambil tempat di bahagian luar di sebelah kiri restoran.
Selang satu meja di hadapan saya, ada tiga atau empat lelaki (kelihatan seperti India Muslim) sedang makan.
Saya mengangkat tangan dan senyum tanda persaudaraan. Waktu itu juga, pelayan restoran datang membawa buku menu dan mengambil pesanan.
Tiba-tiba, salah seorang lelaki di hadapan saya berjalan ke meja saya dan menghulurkan tangan.
Saya bersalam dan bertanya beliau dari mana. Katanya, dia orang Kedah dan pernah bertemu saya di rumah seorang rakan peniaga kain di Sungai Petani.
Katanya, dia ingin menyuap gula ke mulut rakan itu kerana pada pertemuan itu rakan saya itu memperkenalkan saya kepadanya sebagai bakal MB (Menteri Besar) Kedah.
Saya nyatakan saya tidak ingat, dan saya minta maaf kerana saya tak dapat mengingati pertemuan itu. Lelaki itu memakai kameja berwarna coklat, bertopi seperti kopiah, berkulit gelap dan kelihatan baik dia berdiri sambil membongkok dan meletak dua tangan di atas meja saya.
Dia memaklumkan sepupunya di meja hadapan saya itu ingin bertemu saya dan meminta masa untuk bercakap.
Sambil memegang menu untuk membuat pesanan, saya kata kepadanya eloklah orang Kedah kita balik bersembang di Kedah. Malam ini kita makan-makan dulu. Itulah jawapan paling ikhlas dan terus terang saya untuk tidak menghampakan mereka.
Sepanjang perbualan itu, saya memandang mukanya. Hanya ketika mengatakan ‘kita makan-makan dulu malam ni’, saya memandang Shahril Rizal yang juga sedang membelek buku menu.
Shahril Rizal mengulangi kata-kata saya sambil memandang muka lelaki itu. Kemudian dia pun balik ke meja mereka.
Kemudian Ir. Khairul Faizi membawa gelas minuman dan datang duduk bersama kami. Diikuti oleh isterinya (bekas pegawai di Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri), abangnya Baha dan isterinya (pendakwaraya kes PUI Sivagangga).
Baha dan Khairul duduk mengadap saya. Selepas berbual agak panjang, mereka masuk semula ke dalam, kecuali Khairul yang terus minum dan berbual sambil ketawa mengenai kisah-kisah lama.
Selesai makan, saya minta diri dan berjalan menuju ke meja lelaki tadi. Saya katakan kita jumpa lagi dan menghulur tangan untuk bersalam (adab yang tidak boleh diamalkan dalam pandemik Covid-19).
Lelaki itu menyatakan dia tidak mahu bersalam dengan saya. Jadi saya menarik balik tangan saya dan meletak di dada sebagai isyarat salam normal baharu. (Saya bersangka beliau tidak mahu bersalam kerana normal baharu – rupanya dia sedang marah).
Saya menuju meja cashier untuk membayar, dia mengekori saya dan sambil menyatakan rasa tidak puas hati dengan jawapan saya tadi.
Saya terpinga-pinga dan bertanya apakah yang dimaksudkan. Katanya, jawapan saya “malam ni nak mai makan saja, kita sembang lain kali di Kedah” adalah jawapan yang tidak patut oleh seorang MB.
Saya ulangi semula jawapan saya, bahawa saya jawab dengn ikhlas tanpa berselindung bahawa memang nak mai makan, tidak bersedia untuk bersembang hal perniagaan (kerana pada pandangan saya, mereka semua itu adalah ahli perniagaan).
Setiba di pintu restoran, rakan saya berbangsa Cina tadi sampai. Saya katakan saya telah selesai makan dan telah memanggil grab untuk balik ke hotel. Saya masuk membayar bil dan keluar menanti grab. Tak sempatlah kami berbual panjang, hanya dua tiga minit sambil menanti grab sampai.
Pada ketika itulah, tiga lelaki tadi keluar dan dengan muka marah mengatakan, “kena jadi Cina rupanya baru boleh jumpa MB”. Saya agak terkejut dan hairan. Saya maklumkan kepada rakan saya, ada orang sedang marah, lebih baik beliau pulang sahaja. Selang seminit, grab sampai dan saya balik ke hotel.
Setiba di bilik, saya menghubungi rakan saya di Sungai Petani bertanya kalau-kalau dia kenal lelaki yang memetik namanya di restoran tadi. Saya ceritakan apa yang telah berlaku dan rakan saya berjanji akan cuba mencari identiti lelaki itu nanti. Saya beri maklumat tambahan…Kereta mereka Honda City putih, nombor plat (pendaftaran) PFN2xxx…
Awal pagi 15 Ogos, rakan dari Sungai Petani menghubungi saya dan memaklumkan dia telah dapat mengenalpasti lelaki itu kerana dia juga dihubungi oleh lelaki itu sambil bercerita buruk mengenai saya.
Namanya Syed Sultan, seorang ahli perniagaan. Dia memaklumkan salah seorang daripada lelaki lain bersamanya di restoran itu berpangkat Datuk, pernah bertanding sebagai calon BN DUN Kuala Ketil.
Kata rakan saya lagi, lelaki bernama Sultan itu telah membuat rakaman suara dan akan viralkan untuk menghentam saya. Saya katakan terpulanglah, jika itu jalan terbaik untuk memuaskan hatinya.
Saya tidak rasa “terhutang” apa-apa apabila saya tidak bersedia untuk bersembang hal bisness tanpa persediaan, selain bersiap sedia untuk mengalas perut yang sedang menyanyi…
Setiba saya ke rumah pada waktu Maghrib 15 Ogos 2020, saya mendengar rakaman suara lelaki itu di salah satu grup wasap.
Aduhaiii kawan…dosa lama kita telah banyak bertimbun mungkin belum terampun, tak perlulah buat dosa baru pula…
Demikianlah kisah sebenar bagi mencerahkan kegelapan rakaman suara berkaitan adab sopan saya… Terima kasih. –MalaysiaGazette
0 ulasan:
Catat Ulasan