Ahad, 23 Ogos 2020

UEC: MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

Setelah bersusah payah dua tokoh pendidikan negara iaitu Menteri Pelajaran Abdul Rahman Talib dan Pengarah Pelajaran Dr Aminudin Baki berjaya menghalang kewujudan sekolah-sekolah vernakular persendirian Cina sekitar 1960-1965, malangnya pada tahun 1975, Menteri Pelajaran ketika itu, (Tun) Dr Mahathir Mohamad telah membuat satu keputusan yang telah menghancurkan semua usaha kedua-duanya tokoh pendidikan negara tersebut.

Baca buku hasil kajian PhD oleh Ang Ming Chee (2011) "Institutions and Social Mobilization : The Chinese Education Movement in Malaysia" yang mengisahkan bagaimana (Tun) Dr Mahathir Mohamad sendiri telah bersetuju memberikan kelulusan kepada Dong Zong untuk peperiksaan UEC dilaksanakan oleh semua sekolah persendirian Cina bermula 1975. Kelulusan ini secara langsung telah menyebabkan semua usaha Laporan Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961 untuk membina satu sistem pendidikan kebangsaan menjadi sia-sia. Musnah semuanya.

Akibat kelulusan UEC ini, sekolah sekolah persendirian Cina menolak untuk menggunakan kurikulum kebangsaan dan peperiksaan awam Malaysia. Anak-anak sejak kecil akan ke sekolah pra sekolah vernakular Cina, kemudian ke sekolah rendah vernakular Cina, seterusnya ke sekolah menengah persendirian Cina sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat kolej dan universiti ke negara China, Taiwan dan Hong Kong. Tidak ada lagi titik sosial yang memberikan peluang untuk anak-anak berbagai kaum berinteraksi akibat kelulusan perlaksanaan UEC pada 1975 ini.

Jumlah pelajar Cina ke sekolah menengah kebangsaan juga telah berkurangan bila mereka mula memilih aliran persendirian Cina yang menggunakan sijil UEC. Ini membantutkan usaha meningkatkan bilangan pelajar Cina ke sekolah menengah yang telah dimulakan oleh Abdul Rahman Talib sejak tahun 1960 melalui Dasar Pelajaran 1960.

Ibarat 'beri betis mahukan paha', setelah berjaya mendapat kelulusan kerajaan bagi melaksanakan peperiksaan UEC di negara ini pada 1975, Dong Zong terus menerus memberikan tekanan dan mendesak kerajaan supaya mengiktiraf sijil UEC pula. Secara jelas atas maksud 'rasmi' di dalam Perkara 152 (a dan b) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan jika kerajaan mengiktiraf sijil UEC sebagai sijil rasmi persekutuan.

Mengiktiraf sijil UEC bukan sahaja salah di bawah Perlembagaan, ia juga adalah satu tindakan yang menghina, mengkhianati dan melanggar Akta Bahasa Kebangsaan. Sangat terang penghinaan ini jika dilakukan.

Tidak putus asa, selama lebih 35 tahun sejak 1975, desakan demi desakan dilakukan oleh kumpulan Dong Zong terhadap kerajaan. Adakalanya mereka sampai mengugut seperti apa yang berlaku dalam tuntutan Siqiu pada tahun 1999. Tetapi selama itu juga kerajaan di bawah pimpinan UMNO masih bertahan dan tidak melayan tuntutan Dong Zong.

Kerajaan sedar mengiktiraf UEC akan merosakkan semua struktur pendidikan negara. Jika UEC diluluskan, bukan sahaja Perlembagaan dan Akta Bahasa dilanggar, semua usaha pimpinan awal negara untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang harmoni juga akan dikhianati. Menteri Pelajaran silih berganti sejak tahun 1975. Semuanya tetap teguh menolak pengiktirafan UEC.

Bagaimanapun, ketegasan kerajaan di bawah kepimpinan UMNO tidak bertahan lama. Pada tahun 2011, akibat desakan demi desakan, Menteri Pelajaran ketika itu (Cuba anda teka siapa? https://bit.ly/31KEOnD ) telah berlembut dan akhirnya bersetuju memberikan pengiktirafan kepada UEC untuk pengambilan calon guru bahasa Cina ke IPG.

Alasan kerajaan ketika itu,  pengiktirafan sijil UEC ini hanyalah untuk pengambilan calon guru Bahasa Cina. Apa yang nak dihebohkan? Apa masalahnya?

Alasan yang diberikan oleh kerajaan bukan sahaja pelik tetapi seperti cuba mempersendakan rakyat. Bukankah sijil SPM juga menawarkan mata pelajaran Bahasa Cina?

Mengapa tidak diambil calon guru yang mempunyai kelulusan Bahasa Cina SPM untuk ke program Bahasa Cina di IPG? Mengapa perlu mengiktiraf dan menerima calon yang menggunakan sijil UEC untuk kemasukan ke IPG?

0 ulasan:

Catat Ulasan