Jumaat, 21 Ogos 2020

Baik Najib, Muhyiddin atau Anwar tak boleh kukuhkan kedaulatan kita, kata Dr M


PETALING JAYA: 
Dr Mahathir Mohamad berkata baik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim atau bekas perdana menteri Najib Razak, tidak boleh mengukuhkan kedaulatan Malaysia.


Dalam temu bual Youtube dengan pelajar, Farid Aziz, Mahathir ditanya siapakah individu yang dipercayainya dapat mengukuhkan kedaulatan negara antara 3 pemimpin terkemuka itu.
“Tiada satu pun,” katanya dalam sesi pertanyaan cepat tanya-cepat-jawab.


Beliau juga ditanya tentang gabungan kerajaan yang paling kuat dan adil antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.
Untuk itu, beliau menjawab: “BN pada waktu awal.”

Ketika diminta untuk menggambarkan sifat baik Anwar, Mahathir berkata, beliau bercita-cita tinggi, selain menambah bahawa bekas timbalannya itu memilih untuk bergabung dengan Umno kerana tahu beliau tidak boleh menjadi perdana menteri jika menyertai PAS.

“Saya terima dia, saya naikkan pangkat dia sehingga dia jadi timbalan perdana menteri. Apabila saya letak jawatan, dialah akan ganti saya.

“Tetapi sebelum itu, berlaku peristiwa-peristiwa yang menyebabkan dia dihadapkan ke mahkamah dan itu menghalang kemungkinan dia jadi perdana menteri,” katanya.
Mahathir juga menggambarkan Najib sebagai pemimpin yang berbakat dan berkebolehan.

Namun, katanya, cara bekas perdana menteri itu mendapatkan populariti dalam kalangan rakyat dengan memberikan wang percuma adalah “idea yang tidak sesuai” bagi seorang pemimpin.

Dalam pada itu, Mahathir meminta belia supaya lebih terlibat dan peka dengan perkembangan negara, selain mengingatkan bahawa perbuatan mengabaikan perkara boleh dianggap sebagai melepaskan tanggungjawab.

“Itu menunjukkan perasaan yang tidak bertanggungjawab kerana apa yang berlaku dalam negara akan mempunyai kesan ke atas mereka kemudian. Sebab itu mereka harus mengambil berat terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.

“Jika tidak, mereka akan dikuasai oleh orang yang mempunyai agenda tertentu yang mungkin tak baik bagi negara.”-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan