KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyedari cubaan terbaharu media Israel memanipulasi penahanan lelaki disyaki ejen Israel dengan mengaitkan misi ke Malaysia untuk memusnahkan seteru dalam keluarga sebagai satu propaganda.
Malah, beliau berkata, ia boleh dianggap sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian mengenai sebab utama suspek berusia 36 tahun itu masuk ke negara ini.
"Ya, kita maklum tentang penyiaran laporan media Israel yang mendakwa kehadiran suspek ke Malaysia untuk membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru di negara ini.
"Pada masa ini, siasatan PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menjurus kepada semua sudut dan elemen yang boleh dikaitkan dengan keberadaan suspek di negara ini," katanya kepada BH.
Razarudin mengulas laporan The Times Of Israel semalam yang mendakwa, lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu, adalah berkaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, sebaliknya menegaskan ia bukanlah satu-satunya fakta yang boleh diterima pakai dalam konteks siasatan polis secara mudah sehingga dibuktikan.
Menurut laporan itu, suspek yang dikenal pasti sebagai Shalom Avitan, dipercayai mempunyai misi untuk membunuh Eran Haya, iaitu ketua keluarga daripada kumpulan penjenayah seterunya.
"Kedua-dua sindiket terbabit dalam perbalahan ganas selama berbulan-bulan. Menurut Saluran 12, rumah Avitan, di kejiranan Bavli mewah Tel Aviv, adalah sasaran beberapa bom tangan yang dilemparkan oleh 'orang' Haya.
"Insiden itu dilaporkan pada pertengahan Mac, dipercayai sebelum Haya dikatakan memasuki Malaysia," kata laporan itu.
Teliti motif suspek
Mengulas lanjut, Razarudin berkata polis masih meneliti dan menyiasat motif sebenar suspek masuk ke negara ini serta bagaimana suspek mendapatkan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru, selain faktor yang mungkin berkait dengan isu membabitkan Palestin dan Israel.
"Kita juga sedang meneliti pergerakan suspek sebelum dia diberkas, siapa orang hubungannya termasuk melihat latar belakang dirinya dengan bantuan dan maklumat perisikan kita.
"Malah, kita juga tidak boleh mengetepikan ancaman suspek ini terhadap pemimpin-pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan pemimpin Hamas atau pegawai tertinggi kerajaan asing selain keselamatan rakyat negara kita sendiri," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, PDRM sedang memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap bukti dan fakta yang ada, serta mendapatkan maklumat tambahan daripada hasil siasatan.
"Beri kita ruang, melengkapkan siasatan sebelum saya dapat berkongsikan maklumat terbaharu kepada umum esok (Isnin)," katanya.
PDRM katanya, sentiasa siap-siaga dalam mengawasi keselamatan dan ketenteraman awam dan serta keselamatan orang-orang berkepentingan.
-BH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan