PANGLIMA PERANG MALIK
Panglima Perang Malik merupakan salah seorang panglima dari beberapa orang panglima Kesultanan Selangor di bawah pemerintahan Sri Sultan Ibrahim Shah ibn Sri Sultan Salehuddin Shah ibn Yang Dipertuan Muda Riau II Opu Daeng Chelak ibn Opu Daeng Rilaga.
Beliau dilahirkan pada tahun 1759 di Kuala Selangor dan dikatakan berasal dari Kampung Tanjung Pisang Sesikat. Sejak kecil, Panglima Perang Malik telah dididik dengan ilmu agama oleh kedua orang tuanya. Meningkat remaja, beliau berlatih silat dengan seorang guru persilatan di Kampung Permatang untuk tujuan perlindungan dan mendapat jodoh pun dengan orang Kampung Permatang.
Panglima Perang Malik berkhidmat sebagai panglima perang Kesultanan Selangor sekitar tahun 1780 dan beliau telah menceburi medan pertempuran dalam beberapa siri serangan ke atas tentera Belanda di Melaka dan Kuala Selangor pada tahun 1784. Kemudian pada tahun 1785, beliau bersama Sri Sultan Ibrahim Shah, Panglima Perang Besar Saiyyid Jaafar bin Saiyyid Sharid Hassan, Panglima Tok Sekam dan panglima-panglima Selangor yang lainnya telah menyerang tentera Belanda di atas Bukit Selangor.
Turut serta dalam serangan itu ialah 2,000 orang tentera bantuan Pahang dibawah pimpinan Bendahara Tun Abd Majid, 1,500 orang tentera Rembau dibawah pimpinan Raja Ali dan tentera bantuan dari Kesang dibawah pimpinan Tok Laji. Menurut catatan, Sri Sultan Ibrahim Shah dapat menawan kembali Bukit Selangor dalam satu hari sahaja.
Pada tahun 1805, Panglima Perang Malik dan beberapa orang panglima handalan telah terlibat secara langsung menyerang Perak bersama Sri Sultan Ibrahim Shah. Dalam serangan itu, Selangor dapat mengusai sebahagian dari negeri Perak.
Pada tahun 1806, Raja Ahmad ibn Raja Haji Fisabilillah ibn Yang Dipertuan Muda Riau II Opu Daeng Chelak telah datang ke Kuala Selangor dan menetap beberapa tahun di sana. Sekitar tahun 1807, Raja Ahmad telah jatuh cinta dengan anak perempuan Panglima Perang Malik yang bernama Cik Hamidah dan berlakulah penikahan di antara mereka berdua. Pada hari pernikahan itu, ramai kaum kerabat antara kedua mempelai itu hadir.
Pada tahun 1808, Raja Ahmad telah mendapat seorang putera dan diberi nama Raja Ali Haji. Tentang kelahiran Raja Ali Haji, ada yang mengatakan bahawa beliau dilahirkan di Kuala Selangor dan ada pula mengatakan bahawa Raja Ali Haji dilahirkan di Lingga, Pulau Penyengat Riau.
Panglima Perang Malik dikatakan telah meninggal dunia sekitar tahun 1830-an ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah ibn Sri Sultan Ibrahim Shah.
#MAMR
0 ulasan:
Catat Ulasan