Isnin, 1 April 2024

Besar 'modal' belanja raya Safuan untuk tiga isteri

 MOHD Safuan Abd Rahman bersama tiga isteri dan sembilan anaknya. FOTO ihsan Mohd Safuan Abd Rahman

MOHD Safuan Abd Rahman bersama tiga isteri dan sembilan anaknya. FOTO ihsan Mohd Safuan Abd Rahman

Bangi: Ketika suami lain 'berhabis' wang untuk membeli keperluan keluarga menjelang Aidilfitri, Mohd Safuan Abd Rahman juga tidak terkecuali malah perlu berbelanja lebih lagi kerana memiliki tiga isteri dan sembilan anak.

Mohd Safuan yang menetap di Seksyen 4, di sini, berkata, sebagai ketua keluarga, dia perlu berlaku adil, jadi perlu membelikan setiap isteri dan anak dengan pakaian baru tanpa pilih kasih.

Dia yang mencari rezeki sebagai ketua kumpulan jualan sebuah syarikat hartanah berkata, tahun lalu, dia masih ada dua isteri namun kini sudah ada tiga dengan pasangan terbarunya, Nurnajiha Khalidi, 27, hamil lapan bulan.

Jadi, Mohd Safuan tidak boleh terlepas pandang dan mengakui sudah membeli keperluan raya untuk semua anak dan isteri supaya tidak kalut serta menghabiskan lebih RM3,000 tahun ini untuk pakaian saja.

Bercerita lanjut, Mohd Safuan berkata, walaupun ahli keluarganya ramai namun dia tidak sampai menabung kerana mempunyai pendapatan stabil hasil jual beli hartanah.

"Cuma, nak tak nak memang kena sediakan duit lebih berbanding hari biasa kerana sambut raya setahun sekali.

"Tahun lepas, isteri pergi berbelanja sendiri namun tahun ini, kami semua pergi bersama kerana ada sesi fotografi selepas membeli-belah.

"Memandangkan anak saya ramai, jadi ada masalah juga nak cari saiz juga corak yang sama, jadi tak sedondon dengan semua kerana baju raya itu bukan ditempah. Tapi warnanya kami beli lebih kurang sama.

"Setiap seorang (isteri dan anak) dapat sepasang baju dan semuanya dibeli di tempat yang sama iaitu dekat sebuah gedung tekstil," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berhubung giliran pulang beraya pula, Mohd Safuan berkata, ketiga-tiga isterinya berasal dari tempat berbeza dengan yang pertama, Siti Nur 'Aisyah Adris, 37, dari Senawang, Negeri Sembilan; kedua, Nur Izyan Liyana Jamaludin, 37, dari Bangi dan ketiga, Nurnajiha Khalidi pula dari Muar, Johor.

"Jadi untuk berlaku adil, malam raya dan raya pertama kami semua akan ke rumah keluarga saya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Raya kedua dan seterusnya ikut giliran mengikut urutan isteri.

"Setakat ini, semua isteri faham dan terima…cuma mereka memang pulang beraya di rumah masing-masing dan tak ada ziarah kampung satu sama lain," katanya.

Mohd Safuan bersyukur rumah tangganya harmoni walaupun mengakui bukan mudah isteri hendak terima kehidupan berpoligami pada awalnya.

"Itu normal namun lama-kelamaan keadaan bertambah baik.

"Sebagai suami dan bapa, saya cuba bahagiakan mereka malah akan bawa semua berjalan pada hujung tahun.

"Tapi disebabkan kami ramai jadi tak boleh naik satu kereta tetapi dua atau tiga mengikut kesesuaian," katanya.

-myMetro 

0 ulasan:

Catat Ulasan