Rabu, 24 April 2024

Masalah air seperti tiada kesudahan

 

Nur Liana (kanan) menunjukkan tangki tambahan yang terpaksa dipasang bagi memastikan bekalan air di rumahnya mencukupi untuk kegunaan harian dan perniagaannya.
Nur Liana (kanan) menunjukkan tangki tambahan yang terpaksa dipasang bagi memastikan bekalan air di rumahnya mencukupi untuk kegunaan harian dan perniagaannya.

PENDERITAAN penduduk di Mukim 5, Seberang Perai Selatan (SPS) yang terpaksa berdepan masalah bekalan air sejak enam tahun lalu belum dapat diatasi hingga kini oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Kegagalan menangani isu itu yang menjejaskan kualiti kehidupan ribuan penduduk terlibat juga didakwa tidak mencerminkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri yang kini memfokuskan kemajuan dan transformasi melalui Visi Penang2030.

Penduduk mendakwa, kegagalan memastikan mereka menerima bekalan air yang sempurna jelas terbukti meskipun lapan pelan kontingensi telah dibuat termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Kedua Sungai Kerian di SPS.

Namun usaha tersebut dikatakan langsung tidak memberikan kesan dan perubahan positif terhadap isu yang tiada kesudahan sejak 2018 itu.

Kebanyakan penduduk yang ditemui Sinar Harian, meluahkan kekesalan mereka terhadap syarikat pengendali perkhidmatan air di Pulau Pinang yang dilihat enggan mengaku kelemahan dan ketidakcekapan dalam menguruskan krisis.

Mereka mendakwa, syarikat tersebut juga gagal memberikan alasan dan jawapan munasabah terhadap masalah bekalan air melibatkan 12 kawasan perumahan termasuk beberapa kampung di Mukim 5.

Penduduk di Taman Seruling Emas, Nor Hidayah Ruze, 54, berkata, walaupun ratusan aduan dan beberapa siri rundingan serta bantahan dibuat oleh penduduk, namun hak mereka untuk mendapatkan bekalan air sempurna dinafikan pihak terbabit.

Suri rumah itu yang kini berdepan masalah kesihatan dan perlu bergerak menggunakan kerusi roda berkata, catuan air selama kira-kira tujuh jam setiap hari bermula jam 5 petang hingga lewat malam, menjejaskan kerja rumah dan rutin harian penduduk.

 Jelasnya, keadaan bertambah parah setiap kali musim perayaan kerana penduduk tidak menerima bekalan air selama 12 hingga 18 jam sehari.

“Bayangkan disebabkan masalah air ruang dapur kami akan dipenuhi pinggan mangkuk tak bercuci dan pakaian bertimbun.

“Dalam keadaan berkerusi roda, macam mana saya nak angkat baldi dan tong berisi air dari luar rumah untuk kegunaan harian.

“Saya terpaksa beli bekalan air mineral untuk digunakan bagi membuang air kecil dan besar,” katanya.

Christine Teoh, 56, pula berkata, sejak krisis air melanda di kawasan perumahannya, kualiti kehidupan dirinya dan penduduk lain terjejas, selain perbelanjaan bulanan meningkat dan berdepan pelbagai tekanan perasaan selagi isu tersebut tidak diselesaikan.

“Bayangkan penduduk yang penat selepas seharian bekerja bila pulang ke rumah untuk mandi tapi air tiada. Macam mana mereka nak masak untuk hidangan makan malam dan adakah semua kain baju kami perlu dicuci di kedai dobi setiap hari?

“Paling mengecewakan apabila berlaku gangguan bekalan air untuk tempoh lama, kami lambat diberi notis untuk buat persiapan,” luahnya.

Menurutnya, penduduk terpaksa menebalkan muka menumpang mandi di rumah saudara mara.

Sementara itu, peniaga roti jala yang tinggal di Taman Widuri, Susilawayi Sapie, 38, berkata, masalah bekalan air pada minggu akhir Ramadan tiga tahun lalu menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian kerana gagal menyiapkan tempahan pelanggan.

Bukan itu sahaja katanya, krisis bekalan air di Mukim 5 juga meragut keceriaan dan kegembiraan penduduk untuk meraikan hari raya apatah lagi untuk menganjurkan rumah terbuka, sejak enam tahun lalu.

“Bayangkan mereka yang ada ramai anak terutama masih kecil, pastinya guna air yang banyak tapi bila tiba musim perayaan makin menjadi-jadi pula gangguan air,” katanya.

Peniaga di Taman Widuri, Nur Liana Abd Rashid, 32, berkata, dia terpaksa mengeluarkan modal hampir RM3,000 untuk memasang tangki khas di tepi rumah bagi menyimpan bekalan air.

Katanya, sebelum ini semua sisa dan bekas digunakan untuk menyediakan makanan yang akan dijual terpaksa dibiarkan penuh di kawasan dapur sementara menunggu bekalan air pulih untuk dicuci.

Tambahnya, disebabkan tidak mahu operasi perniagaannya terus terkesan dia terpaksa mengeluarkan modal lain untuk membeli tangki air khas miliknya itu.

Kerajaan negeri diminta telus dedah punca sebenar

Dalam pada itu, Kerajaan Pulau Pinang diminta telus dan mengakui kelemahan selain mendedahkan kepada rakyat apakah punca utama masalah bekalan air di Mukim 5 tidak dapat diselesaikan sehingga bertahun-tahun lamanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, SPS, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, meskipun pelbagai projek dan lapan pelan kontingensi dibuat namun masalah yang dihadapi penduduk tidak selesai.

Katanya, penduduk semakin hilang sabar kerana turut terpaksa menanggung bil air yang meningkat berkali ganda sedangkan masalah bekalan air masih tidak berkesudahan.

“Kerajaan negeri perlu akur dan jujur untuk mendedahkan apa punca sebenar masalah bekalan air ini berlarutan bukan dalam tempoh enam minggu atau enam bulan, tetapi sudah enam tahun.

Kalau dahulu pentadbiran di peringkat negeri dan pusat tidak sehaluan hingga ada kekangan dalam selesaikan masalah ini tapi kini kedua-duanya dalam pentadbiran sama,” katanya.

Penduduk di Mukim 5, SPS terpaksa berdepan masalah bekalan air sejak enam tahun lalu.
Penduduk di Mukim 5, SPS terpaksa berdepan masalah bekalan air sejak enam tahun lalu.

Beliau mendakwa, masalah itu disebabkan salah tadbir urus oleh kerajaan negeri termasuk pembangunan yang tidak terancang di kawasan Seberang Perai.

Apa bezanya kami dengan penduduk Pulau Pinang di kawasan lain?

“Kenapa biarkan kami terus terseksa sedangkan kami berhak menerima bekalan air yang sama seperti orang lain,” katanya.

-- INFO

Kawasan di mukim 5 yang terlibat:

- Taman Seruling Emas

- Flat Taman Seruling Emas

- Taman Sri Seruling

- Jalan Sg Duri, Tmn Seruling Emas

- Jalan Permatang Ara, Tmn Seruling Emas

- Wellesley

- Perkampungan Sg Baong (sebahagian)

- Perkampungan Sungai Duri

- Taman Sg Duri Perda

- Taman Widuri

- Kampung Permatang Ara

- Perkampungan Sg Bakap (sebahagian)

-SH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan