Kuala Lumpur: Seorang pemuda Palestin yang berada di negara ini bimbang keselamatannya selepas dihubungi individu berasal dari Israel sebanyak enam kali.
Mendedahkan perkara itu, Yousuf Abuassi, 28, berkata, dia pernah menerima ugutan daripada beberapa warga Israel kerana sering memuat naik berkenaan penindasan di Gaza.
"Saya menerima ugutan berkenaan itu bulan lalu sebelum membuat laporan polis. Mereka kata akan cari saya sampai dapat.
"Saya risau kerana pada tahun 2018 rakan saya Dr Fadi Al-Batsh turut menjadi mangsa pembunuhan mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yousuf berkata, sejak semalam dia dihubungi pelbagai individu bertanya berkenaan keselamatan keluarganya.
"Alhamdulillah ramai yang ambil berat terhadap saya dan keluarga, mereka tanya saya baik atau tidak selepas berita berkenaan tangkapan seorang lelaki warga Israel tersebar.
"Saya kini berhati-hati ke mana saya pergi dan memastikan semua keluarga saya berteman," katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan polis menahan pasangan suami isteri di bazar Ramadan di Kuala Selangor kerana disyaki membekalkan senjata api kepada warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu.
Berpandukan maklumat pasangan berkenaan, polis menemukan sepucuk pistol berwarna perak berhulu coklat di dalam bonet kereta jenis Honda Jazz milik mereka.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Israel menggunakan pasport Perancis untuk masuk ke ibu negara ditahan dan polis menemukan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.
Lelaki berusia 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia.
Pemeriksaan di bilik hotel menemukan semua senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Semua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.
Kehadiran lelaki itu didakwa untuk membunuh seorang rakyat Israel disyaki berada di negara ini berhubung isu keluarga.
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan