Sepang: Pengawal peribadi yang ditembak di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA) di sini, hari ini terpaksa ditidurkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mangsa kini kritikal selepas terkena satu das tembakan pada jarak dekat sekitar tiga ke empat meter.
"Saya dimaklumkan mangsa di 'induced coma' (ditidurkan) sejurus keadaan kembali stabil dan pembedahan selanjutnya akan dijalankan ke atas pengawal peribadi itu.
"Suspek berkenaan tiada permit senjata api dan kita percaya dia memperoleh pistol berkenaan secara haram," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau turun padang bagi membuat penilaian keselamatan susulan kejadian itu berlaku di lokasi berkepentingan iaitu pintu masuk negara.
Mengulas mengenai keperluan meningkatkan elemen keselamatan di lapangan terbang itu beliau berpendapat orang ramai tidak perlu khuatir dan memberi jaminan keselamatan kerana insiden itu bersifat peribadi.
"Secara jujurnya kehadiran saya pagi ini mengambil kira perkara tersebut (lokasi kejadian). Sepertimana semua maklum kejadian sebegini bukan kali pertama di KLIA.
"Namun untuk keselamatan lebih khusu dan terperinci sememangnya akan dikaji selepas ini," katanya.
Shuhaily berkata, pihaknya dalam proses mengenalpasti saksi kejadian termasuk anggota polis bantuan dan orang awam ketika kejadian dianggarkan kira-kira 30 orang.
Katanya, polis akan membuat penilaian sekiranya ada keperluan untuk menyediakan anggota keselamatan buat isteri suspek namun setakat ini wanita itu bebas untuk bergerak.
"Kita akan tengok penilaian keselamatan terhadap dia (isteri suspek) sebab ini agenda peribadi disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
-myMetro
Artikel Berkaitan: Tembakan di KLIA:Polis minta saudara Hafizul... serah diri dengan aman'
0 ulasan:
Catat Ulasan