Ahad, 14 April 2024

Tak adil, rugi 'tendang keluar' Kedah dari Liga Super

 Pemain Kedah kembali menjalani latihan semalam selepas cuti Aidilfitri. - Foto KDA FC

Pemain Kedah kembali menjalani latihan semalam selepas cuti Aidilfitri. - Foto KDA FC

KUALA LUMPUR: Jika Kedah Darul Aman (KDA) FC 'ditendang keluar' dari saingan Liga Super ketika sepak mula musim 2024/25 berbaki kurang sebulan lagi, ia dianggap sebagai satu keputusan kurang cekap pengurusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menjangkakan skuad 'Kenari' akan terus 'bernyawa' dalam saingan utama bola sepak negara meskipun nasib mereka ketika ini 'bagai telur di hujung tanduk' susulan isu tunggakan yang perlu diselesaikan pada 20 April ini.

Tegas Pekan, penyingkiran KDA FC ketika ini adalah satu tindakan yang tidak adil apatah lagi satu kerugian jika KDA FC sebagai 'pasukan legasi' tidak lagi bersaing dalam Liga Super bagi musim ini.

"Tidak adil nak buang KDA FC sekarang kerana Liga Super akan bermula bulan depan. Jadi, keputusan (singkirkan pasukan) perlu tegas dan konsisten kerana kalau betul ada masalah, singkirkan awal-awal lagi seperti yang dikenakan kepada Kelantan FC sebelum ini.

"KDA FC pun sudah siapkan pasukan, pemain import pun sudah sampai. Jadi saya tak nampak KDA FC akan digugurkan walaupun kita tahu situasi yang dihadapi mereka ketika ini. Kalau buang sekarang, pemain juga teraniaya dan sudah tentu ada pertikaian nanti.

"Lagipun, kita perlu akui kita perlukan kehadiran pasukan legasi seperti KDA FC yang ada sejarahnya, ada reputasinya dan kelompok penyokong yang besar bagi merancakkan lagi saingan domestik," kata Pekan.

Bagaimanapun, Pekan mengharapkan KDA FC menggunakan peluang diberikan untuk menyelesaikan isu dihadapi selepas MFL sudahpun memberi 'muka' kepada mereka sehingga 20 April untuk memastikan penyelesaian penuh tunggakan itu dapat dicapai.

Malah, isyarat ini perlu dilihat sebagai amaran terakhir buat KDA FC di mana jika masalah sama tetap berulang bagi musim 2024/25, tindakan penyingkiran wajar dilakukan serta-merta pada musim seterusnya.

"Saya berpendapat dengan tarikh akhir yang beberapa kali dianjakkan (untuk selesaikan masalah), MFL cuba memberi peluang kerana mereka pun tidak mahu pasukan ini disingkirkan daripada Liga Super.

"Cuma dengan kelonggaran diberikan, sudah pasti MFL mengharapkan KDA FC ada inisiatif serius untuk selesaikan masalah dengan dengan apa cara sekalipun. Jadi saya harap ia dapat berlaku supaya KDA FC dapat terus bersaing di Liga Super.

"Tetapi MFL perlu jadikan ini sebagai amaran terakhir buat KDA FC. Kalau isu sama berulang lagi, singkirkan terus sebelum musim depan bermula," katanya.

-BH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan