Selasa, 15 Oktober 2024

Kejadian di Masjid dan Bukti "Futuristiknya" Hadis dalam Kehidupan

 Kejadian di Masjid dan Bukti "Futuristiknya" Hadis dalam Kehidupan

Maghrib tadi, saya menyaksikan satu insiden yang membuat saya tergerak hati untuk menulis dan berkongsi tentangnya.

Seorang lelaki tergelincir dan jatuh di tempat wuduk di sebuah masjid. Memang lantai masjid itu licin, dan reka bentuk lantai seperti ini bukanlah sesuatu yang asing di banyak masjid dan surau di sekitar kawasan saya. 

Saya tertanya-tanya apakah rasional di sebalik penggunaan lantai seperti itu? Nak jimat, cantik dan mudah dicuci, tanpa mengambil kira risiko jemaah tergelincir? 

Entahlah, tapi bukan isu lantai licin yang saya nak fokus dalam penulian ini. 

Cuma nak bagitahu sikit lagi, bahawa hingga selesai solat Maghrib tadi, saya perhatikan lelaki tadi masih memegang tangannya, mungkin masih menahan sakit akibat kecederaan kerana tergelincir tadi.

Kejadian ini mengingatkan saya kepada hikmah Rasulullah ﷺ dalam hadis-hadis baginda, betapa bijak, hikmah, berkesan, relevan dan praktikalnya ajaran Islam untuk diterapkan dalam kehidupan seharian. 

Salah satu hadis yang terlintas di fikiran ialah pesanan agar kita tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu:

"Apabila kamu mendengar iqamat, maka berjalanlah dengan tenang dan jangan tergesa-gesa. Apa yang sempat kamu solat bersama imam, solatlah, dan apa yang tertinggal, sempurnakanlah."

— (Riwayat al-Bukhari, no. 636, dan Muslim, no. 602)

Rasulullah ﷺ turut mengingatkan kita bahawa sikap berhati-hati dan tenang itu datangnya daripada Allah, manakala gopoh gapah adalah daripada syaitan:

“Ketenangan itu daripada Allah, dan gopoh-gapah itu daripada syaitan.”

— (Riwayat al-Tirmizi, no. 2012)

Ustaz Shamsuri pernah menghuraikan hadis tentang ketenangan ini dengan memberi contoh tentang orang yang lewat ke masjid. 

Walaupun imam sudah memulakan solat, kita disuruh berjalan dengan tenang dan tidak berlari. 

Tiada kebaikan dalam tergesa-gesa kerana ia boleh mendatangkan mudarat. 

Rasulullah ﷺ telah mengajarkan sikap berhati-hati ini sejak zaman baginda, meskipun pada waktu itu lantai masjid tidak dilapisi jubin licin seperti zaman sekarang. 

Betapa hikmah dari hadis baginda tetap relevan sehingga sekarang:  menasihatkan kita supaya sentiasa berhati-hati, walaupun dalam mengejar perkara baik seperti menyertai solat berjemaah.

-

Berebut Saf Depan dengan Teratur

Islam juga mengajarkan agar kita berusaha mengisi saf depan dalam solat berjemaah. Rasulullah ﷺ bersabda:

“Jika manusia mengetahui kelebihan berada di saf pertama dan panggilan azan, dan mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan diundi, nescaya mereka akan melakukan undian.”

— (Riwayat al-Bukhari, no. 615, dan Muslim, no. 437)

Tanpa panduan seperti ini, umat Islam mungkin akan duduk berselerak seperti dalam kuliah atau majlis ilmu. Bahagian depan di biarkan kosong, jemaah lebih suka mengisi ruangan "tersembunyi", di tepi tiang, di balik pintu dan di depan hembusan angin sejuk "air cond". (Haha, maaf kalau ada yang terasa. Sekadar contoh nakal, untuk melawak)

Subhanallah, bijaknya Islam. Islam ajar kita supaya berhati-hati—"slow and steady"—dalam nak buat ibadah, tapi dalam masa yang sama juga anjurkan kita rebut fadhilat dan ganjaran di saf depan. 

Nampak tak? Orang yang betul-betul memahami dan beramal dengan hadis-hadis Nabi dengan kefahaman yang mendalam, akan nampak betapa "cantik" dan sistematiknya susun atur dalam ibadah Islam. 

Setiap tindakan ada tempat dan cara yang sesuai, seimbang antara ketenangan dan usaha yang bersungguh-sungguh.

Terus saya teringat satu penulisan dalam bahasa Inggeris yang pernah saya baca beberapa tahun lepas. 

Saya rasa elok untuk saya tutup penulisan kali ini dengan kisah itu, yang telah di terjemahkan ke dalam bahasa Malaysia—mudah-mudahan bermanfaat buat kita semua.

-

Kisah Lelaki Amerika dan Keajaiban Saf Solat

[Kebenaran kisah ini mungkin sukar dipastikan, tapi mungkin ada sesuatu yang kita boleh renungkan bersama]

Dalam satu program bertajuk One Family di saluran Majd Channel, moderator Dr. Yahya Alyahya, ketua Komiti Dakwah Islam, menceritakan sebuah kisah menyentuh hati tentang seorang lelaki Amerika bukan Muslim. Lelaki ini berbincang dengannya mengenai Islam ketika menonton siaran langsung Solat Isya' pada bulan Ramadhan di Makkah.

Lelaki Amerika itu, penuh kekaguman, bertanya, "Bagaimana mereka semua ini kelihatan begitu tidak terurus, dengan lebih daripada tiga juta orang berhimpit di Masjidil Haram pada malam terakhir Ramadhan?"

Dr. Yahya tersenyum, lalu bertanya, "Berapa lama kamu fikir mereka akan menguruskan diri untuk tersusun dalam barisan dan memulakan solat?"

Lelaki itu, dengan penuh serius menjawab, "Sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam."

Dengan senyuman yang lebih lebar, Dr. Yahya menambah, "Tetapi Masjidil Haram mempunyai empat tingkat."

Lelaki Amerika itu terkejut, "Oh, kalau begitu, pasti akan mengambil masa lebih kurang dua belas jam!"

Dr. Yahya kemudian meneruskan, "Bayangkan, mereka datang dari seluruh pelusuk dunia dengan bahasa yang berlainan. Mungkinkah mereka dapat berada dalam satu barisan untuk memulakan solat?"

Lelaki itu menggelengkan kepala, "Jika begitu, amat mustahil bagi mereka untuk menguruskan diri agar berada dalam satu barisan untuk memulakan solat!"

Namun, ketika waktu solat tiba, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais berdiri tegak dan melaungkan, "Rapatkan saf..."

Dalam sekelip mata, pemandangan di Masjidil Haram berubah serta-merta. Lebih daripada tiga juta Muslim yang tadi kelihatan tidak teratur, kini tersusun rapi dalam barisan hanya dalam beberapa saat.

Lelaki Amerika itu terpana, matanya melekat pada skrin TV. Dengan penuh kagum dan terharu, beliau berkata, "Ashhadu alla ilaha illallah, wa ashhadu anna Muhammadan Rasulullah. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya."

Dalil Hadis:

“Sesungguhnya luruskan saf-saf kamu, karena meluruskan saf adalah bagian dari kesempurnaan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Subhanallah, siapa sangka, perkara kecil seperti meluruskan saf sahaja, boleh menjadi sumber hidayah, jika ianya dibuat dengan betul sesuai dengan apa yang Rasulullah ajar.

--

Nota: Keprihatinan Terhadap Keselamatan Masjid dan Surau

--

Apapun, kami juga menggesa supaya pengurusan masjid dan surau lebih prihatin serta mengambil langkah untuk memastikan kawasan wuduk dan tandas tidak licin dan selamat bagi jemaah dewasa mahupun kanak-kanak. 

Penggunaan lantai licin bukan sahaja berbahaya, malah mencetuskan insiden yang boleh dielakkan dengan usaha yang lebih teliti.

Berikut adalah beberapa cadangan untuk mengurangkan risiko lantai licin:

Epoxy anti-slip: Lapisan epoxy dengan tekstur kasar dapat meningkatkan cengkaman permukaan.

Mats anti-slip: Letakkan alas getah anti-gelincir di kawasan basah.

Lantai bertekstur: Gantikan jubin licin dengan jubin atau konkrit bertekstur.

Kami juga mengalu-alukan pakar yang faham tentang lantai ini untuk memberikan cadangan yang membina untuk diambil perhatian oleh para AJK masjid, agar menggunakan solusi yang paling praktikal bagi menyelesaikan masalah lantai tempat wuduk dan tandas licin ini, terutamanya di masjid dan surau yang sedang dalam pembinaan.

Kesimpulan

Peristiwa di masjid tadi mengingatkan saya betapa benar dan berhikmahnya ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan. 

Dari larangan tergesa-gesa hinggalah galakan mengisi saf depan, setiap hadis Rasulullah ﷺ memiliki hikmah yang mendalam dan relevan hingga ke hari ini. 

Ajaran-ajaran ini bukan sekadar teori, tetapi praktikal untuk membentuk keperibadian Muslim yang berkualiti, baik dalam ibadah mahupun urusan harian. Betapa tepatnya saranan-saranan yang terdapat dalam hadis, dengan pendekatan "psikologi" manusia sepanjang zaman. Kejadian ini membuatkan saya teringat sekali lagi kata-kata yang Ustaz Shamsuri selalu ulang iaitu : "Betapa Futuristiknya (berfikiran jauh, melangkaui masa, sesuai sepanjang zaman) hadis Nabi" 

Benarlah firman Allah : 

Dan Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.— (Surah Al-Anbiya’, 21:107)

Semoga kita terus mengambil pengajaran daripada al-Quran dan sunnah, serta memperbaiki setiap langkah dalam kehidupan kita.

Wallahua'lam

Ditulis oleh : MFAmirS [Zonkuliah]

0 ulasan:

Catat Ulasan