ALOR SETAR - Pasangan tular yang membawa anak kecil memakai alat pernafasan dengan menaiki motosikal selamat dinikahkan di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah pada petang Selasa.
Mohd Azlan Ishak, 36, dan Nor Hidayu Halim, 34, sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim selepas solat Asar dengan sekali lafaz.
Nor Hidayu yang memakai baju sedondon putih dengan Mohd Azlan menerima mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin emas.
Sementara itu, Muhammad Hazamer yang juga Pengerusi Masjid Al Maarufi Seberang Kota berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan pernikahan pasangan tersebut.
Menurutnya, masyarakat diharapkan agar terus memberikan sokongan kepada pasangan berkenaan untuk meneruskan kehidupan baharu.
"Mereka ini sudah berusaha untuk menghalalkan hubungan dan seharusnya kita menolong mereka dengan tidak berbicara yang buruk tentang status perkahwinan mereka ini.
"Selepas selesai urusan akad nikah ini, saya nasihatkan dia juga untuk selesaikan urusan nasab anaknya pula," katanya.
Sebelum ini, pasangan tersebut tular selepas gambar mereka membawa bayi lelaki memakai alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-SH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan