Selasa, 14 Mei 2024

Ibu contoh:Semua 12 anak menjadi

 FAUZIAH bersama 12 anak, cucu dan cicit ketika sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

FAUZIAH bersama 12 anak, cucu dan cicit ketika sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

Kota Bahru: Pengorbanan seorang ibu mendidik 12 anak berbaloi apabila kesemua mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Wanita berkenaan, Fauziah Awang, 79, berkata, dia dan Allahyarham suami, Wan Ismail Wan Mahmood yang meninggal dunia sejak 18 tahun lalu itu sangat menekankan didikan agama dan pendidikan akademik dalam kehidupan anaknya bagi memastikan mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Malah, hasil didikan itu menjadikan kesemua anak mereka berjaya apabila tiga daripadanya menjadi pensyarah di universiti terkemuka negara dengan jawatan profesor dalam bidang undang-undang syariah, bioteknologi dan pembangunan komuniti dan ekonomi manakala empat lagi terbabit dalam bidang perniagaan.

Selebihnya, masing-masing seorang menjadi guru agama, pegawai belia, pegawai kewangan, jurutera dan bekerja sendiri.

Nenek kepada lebih 40 cucu itu juga menjadi ibu contoh dan dianugerahkan Keluarga Mawaddah peringkat negeri Kelantan pada 2021.

Fauziah berkata, sejak anaknya kecil, dia bersama suami memberi didikan agama apabila mengajar al-Quran sendiri di rumah, manakala arwah suaminya mencari rezeki sebagai usahawan dan kontraktor binaan.

"Sebaik pulang dari sekolah, saya akan memastikan anak mengaji al-Quran dan menyiapkan kerja sekolah sebelum mereka memulakan aktiviti yang lain.

"Saya juga akan memantau pergaulan anak bagi memastikan mereka tidak salah memilih kawan kerana ia akan memberi kesan kepada pelajaran dan kehidupan. Selain itu, tidak ada tips khusus dalam mendidik anak-anak, tetapi sebagai ibu bapa kita perlu tegas dan pada masa yang sama memberi tunjuk ajar kepada mereka.

Alhamdulillah, semua anak taat dan saya sentiasa menasihati mereka secara berhikmah," katanya yang tinggal di Kampung Pangkal Changgong, Machang.

Menurutnya, memberi nasihat dan teguran kepada anak sangat penting untuk memastikan mereka sentiasa ingat apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam kehidupan harian.

"Anak akan jadikan kita contoh tauladan untuk membina kehidupan mereka. Jadi sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa menjaga pertuturan," katanya.

Fauziah bersyukur semua anak-anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi termasuk berkelulusan doktor falsafah (PhD).

Katanya, 12 anak-anaknya iaitu Wan Rosmawati Wan Ismail, 62; Rosminah, 60; Wan Zaiton, 58; Wan Kamaruzaman, 56; Wan Abdul Rahman, 53; Dr Wan Ahmad Kharsani, 51; Profesor Dr Wan Abdul Fattah, 49; Wan Mohd Khairi, 46; Profesor Dr Wan Iryani, 45; Profesor Dr Wan Ahmad Amir Zal, 42; Wan Nurul Huwaina, 41, dan Wan Zulkarnain, 36, sudah berkeluarga dan ini mempunyai kehidupan masing-masing.

-myMetro 

0 ulasan:

Catat Ulasan