Ahad, 12 Mei 2024

'Harum Manis Perlis tiada tandingan, Sanusi jangan berangan'

 SHUKRI dan buah Mangga Harum Manis Perlis. FOTO Aizat Sharif

SHUKRI dan buah Mangga Harum Manis Perlis. FOTO Aizat Sharif

Kangar: Reputasi Perlis sebagai pengeluar buah mangga Harum Manis utama di negara ini sukar digugat oleh mana-mana negeri termasuk Kedah meskipun negeri jiran itu sudah mulai cuba mengeluarkan buah berkenaan untuk pasaran negara ini.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, meskipun ada kenyataan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa mangga Harum Manis dari negeri itu mula meraih perhatian, namun Harum Manis Perlis tetap menjadi pilihan utama di negara ini.

Saya ingat Datuk Seri Sanusi ini berangan, mangga Harum Manis Perlis tidak akan boleh ditandingi mangga mana-mana negeri pun, insya -Allah kerana dia mempunyai rasa tersendiri.

Selain itu, cuaca dan tanah di Perlis juga amat sesuai untuk penanaman mangga jenis ini berbanding di tempat lain.

"Jadi apabila (Datuk Seri) Sanusi mengatakan mangga Harum Manis dari negerinya sudah jauh meninggalkan mangga Harum Manis Perlis hingga 80 tiang atau berapa puluh tiang sekalipun, saya rasa itu angan-angan beliau sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Pejabat Menteri Besar, Pejabat Speaker dan Bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, semalam.

Pada 5 Mei lalu, Muhammad Sanusi dilapor berkata, Kedah yakin akan dapat menjadi pengeluar utama mangga Harum Manis di negara ini selepas usaha meluaskan tanaman buah itu giat dilaksanakan.

Malah, mangga Harum Manis Kedah yang dijenamakan sebagai Harumanis D'Aman kini sudah mula meraih perhatian dan jauh lebih popular berbanding HarumManis negeri lain walaupun baru dilancarkan tahun lalu.

Mohd Shukri berkata, perbezaan yang ketara yang terdapat pada mangga Harum Manis Perlis adalah dari segi ketahanan buah berkenaan yang mampu ditanam ketika cuaca panas yang sering berlaku di Perlis.

"Harum Manis Perlis biasanya manis dan berbau harum, paling penting sesiapa yang cuba membawa balik benih mangga untuk ditanam di negeri lain, rasa manis dan keharuman tidak sama dengan di sini.

"Ini disebabkan kawasan muka bumi Perlis ini yang berbukit dan cuacanya lebih kering jadi kita melihat ini sebagai anugerah Allah tidak terhingga di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perlis, Razali Saad berkata, kapasiti penanaman Harum Manis Perlis sudah mencecah 1,700 hektar, berbanding sekitar 100 hektar sahaja di Kedah.

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan