KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Bangladesh yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu bersama isterinya warga Indonesia, mampu menikmati kehidupan mewah tinggal di kondominium hasil perniagaan peralatan komputer.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan bersama isterinya berusia 44 tahun dalam serbuan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas jabatan itu di unit kondominium mewah mereka, di sini pada Rabu lalu.
Katanya, dalam pemeriksaan berkenaan, pihaknya turut menemui wang tunai sebanyak RM162,077 di kediaman lelaki terbabit.
"Penguatkuasaan ini adalah siri operasi Op ID Hack bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan itu yang masih beroperasi dan memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu daripada sindiket ID Hack.
"Lelaki Bangladesh terbabit adalah pemborong dan penjual peralatan komputer di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota ini. Dengan hanya menggunakan PLKS palsu ID Hack, dia mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan berkenaan.
"Dia juga mampu menyewa sebuah unit kondominium mewah sebagai kediaman," katanya dalam kenyataan, hari ini sambil menambah, hasil pemeriksaan dan soal siasat, lelaki berkenaan turut menyamar sebagai warga Pakistan bagi mengaburi mata pelanggan.
Katanya, lelaki itu dikenali sebagai Ali dalam kalangan warga Pakistan dan sebagai Munsi Jewel oleh warga Bangladesh di sekitar ibu kota ini.
Beliau berkata, suami isteri itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1953/63 (Akta 155) dan mereka disiasat mengikut Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 51(3) akta sama.
"Mereka akan ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.
Terdahulu pada September lalu, media melaporkan seorang usahawan warga Bangladesh berusia 46 tahun ditahan selepas didapati menggunakan PLKS yang disyaki diperoleh melalui sindiket untuk menubuhkan sebuah syarikat di negara ini.
Lelaki berkenaan yang mengusahakan kilang pakaian turut menggajikan pekerja dari kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
-BH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan