PETALING JAYA: Ketidaktentuan pandemik Covid-19 menyebabkan lebih ramai orang mengalami tekanan disebabkan kebimbangan mengenai kesihatan diri, penjagaan kesihatan, keselamatan pekerjaan dan bekalan makanan serta kelengkapan rumah yang mencukupi, kata pakar terapi.
“Sesiapa sahaja boleh mengalami sindrom tekanan Covid-19 tetapi mereka yang memang mempunyai masalah keresahan dan kesihatan mental akan berdepan dengan risiko lebih besar,” kata pakar hipnoterapi klinikal Nivedita Ramanujam.
Katanya, fobia dan bimbang dijangkiti juga boleh menjejaskan ketahanan dan penyesuaian diri seseorang dalam era pasca-Covid-19.
Sebuah persidangan antarabangsa minggu lalu turut diberitahu bahawa lebih ramai orang mengalami tekanan teruk dan simptom keresahan akibat pandemik menyebabkan penyesuaian tingkah laku perlu dilakukan dengan kerap sebagai respons kepada risiko yang berubah-ubah serta garis panduan kerajaan.
Persidangan Kesihatan Mental Antarabangsa anjuran London College of Clinical Hypnosis (LCCH) Asia itu membincangkan bagaimana gejala yang lebih teruk ini boleh membawa kepada sindrom tekanan Covid-19.
Sindrom ini terutamanya dikaitkan dengan keadaan kesihatan mental yang lemah dan kesan sosial seperti pembelian panik, menghindari orang secara berlebihan dan mekanisme daya tindak balas yang tidak efektif ketika tempoh pengasingan.
Pada persidangan itu, pakar hipnoterapi klinikal bertauliah, Gavin Emerson berkata, ketahanan diri adalah dinamik dan apabila berdepan kesukaran, ia akan menyebabkan seseorang tidak berupaya untuk mengatasinya.
“Ia bukan mengenai kekuatan mental tetapi cara kita bertindak balas terhadap krisis seperti sindrom tekanan Covid-19,” katanya.
“Sikap belas kasihan terhadap diri, alat hipnoterapi yang terbukti boleh menimbulkan emosi positif untuk menangani sindrom tekanan Covid-19, meningkatkan ketahanan dan penyesuaian diri pasca-Covid-19,” katanya.
Nivedita berkata, hipnoterapi boleh digabungkan dengan jenis psikoterapi lain seperti terapi tingkah laku kognitif untuk melengkapi klien dengan keupayaan untuk mengawal tindak balas emosi dan psikologi masing-masing.
Beberapa strategi pengurusan lain termasuk mengamalkan pengambilan makanan sihat, kerap melakukan senaman dan mendapatkan bantuan profesional menerusi rawatan terapi.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan