SAUDARA PENGARANG,
LAPORAN media baru-baru ini menyebut, Indonesia akan meneruskan rancangan memindahkan ibu negara ke kepulauan Borneo mulai suku pertama 2024.
Lokasi baharu itu berkeluasan 56,180 hektar di Kutai Kartanegara dan Penajam Paser Utara, wilayah Kalimantan Timur dengan nilai projek 489 trilion rupiah (RM192.16 bilion).
Kebijaksanaan Presiden Joko Widodo atau Jokowi untuk memindah lokasi ibu negara Indonesia tepat pada masa dan mampu mengubah landskap geografi dan ekonomi republik itu.
Kedudukan kepulauan Borneo dilihat secara geografi memang selamat daripada bencana alam dan lebih strategik bagi mengembangkan ekonomi Indonesia.
Republik itu mampu membangun pesat dan seterusnya menjadi sebuah negara maju jika dirancang dengan rapi oleh pemerintah.
Petuanya mudah sahaja, perlu ada komitmen dalam kalangan rakyat Indonesia yang kita tahu tahap semangat kecintaan kepada negara memang teguh.
Menjadi sebuah negara maju akan lebih mudah jika Jokowi berjaya merealisasikan janjinya untuk memastikan tiada tempat kepada sesiapa yang mahu melakukan penyelewengan kerana hukuman tersangat berat termasuk ditembak sehingga mati.
Dalam pada itu, semakin ramai pelabur di Indonesia, negara-negara jiran dan syarikat gergasi antarabangsa melihat potensi ibu negara baharu itu sebagai lokasi pelaburan hartanah dan perdagangan lain.
Jangan terkejut, mungkin dalam 50 tahun lagi, Borneo akan menjadi sebuah kepulauan paling maju dan sibuk di rantau ini.
Difahamkan, kerajaan negeri Sarawak sudah nampak potensi pertumbuhan ekonomi dan merancang dengan kerjasama kerajaan Pusat untuk membina lebuh raya dari negeri itu ke Kalimantan Timur.
Nasihat saya kepada para pelabur, jangan lepaskan peluang keemasan ini.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Seremban, Negeri Sembilan.
-utusanonline
0 ulasan:
Catat Ulasan