Mengikut sejarah peradaban, pasti ada seorang yang menjadi barua seperti tragedi Tanduo di Lahad Datu, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), dadah dan judi.
Pelakunya bukan sahaja dalam kalangan penjawat awam, malah orang awam sendiri.
Adakah kita mahu anak-anak membesar dengan ‘potret’ daripada keturunan pengkhianat? Jadi, muhasabah diri kepada mereka yang tergerak hati untuk melakukannya atau kekal menjadi antara ‘dilaknat’ oleh masyarakat sekeliling.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan mengenai beberapa kes termasuk melibatkan dua kakitangan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi tali barut sindiket penyeludupan dan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menyeludup PATI.
Malah, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rozilah Salleh turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan seorang pegawai imigresen yang mengkhianati negara ketika menjalankan tugas dengan membenarkan pergerakan keluar masuk warga asing ke negara ini setelah didapati bersalah menerima suapan berjumlah RM1,800.
“Saya sangat kecewa sebab kamu frontliner menjaga pintu masuk Malaysia dan kamu mengkhianati negara kita. Ini merupakan kesalahan yang sangat serius kerana melibatkan isu keselamatan negara,” ujar beliau.
Mereka yang diibaratkan sebagai duri dalam daging ini bagi pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd. Rahim berpunca daripada sikap tamak apabila mendapatkan imbuhan daripada sindiket.
Menurut beliau, taring pengkhianat ini tidak akan dapat menyelesaikan permasalahan walaupun negara mempunyai sistem dan teknologi yang canggih.
“Undang-undang sedia ada sudah cukup ketat dan hukuman juga berat, namun pengkhianat ini sentiasa mencari kelompongan dan ruang yang ada untuk menjalankan aktiviti haram mereka.
“Mana-mana individu atau negara sekalipun tidak mahu musuh dalam selimut dan ‘peperangan’ untuk menangkap serta membanteras pengkhianat harus dipertingkatkan lagi khususnya dalam agensi penguatkuasaan,” kata beliau.
Shahul Hamid memberitahu, aktiviti pemutihan sepatutnya dilakukan menyeluruh melibatkan semua sektor termasuk dalam perikanan yang berkait dengan tali barut bagi kegiatan kemasukan PATI.
“Apabila semua sektor dilibatkan (pemutihan), maka tiada ketirisan dan kumpulan yang mahu ambil kesempatan. Banyak kali buruan PATI dan program berkaitan dilakukan, tetapi tidak selesai juga.
“Malah selepas pandemik Covid-19 ini, saya fikir tiada laporan data tepat mengenai warga asing di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, penceramah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah pula menegaskan, golongan pengkhianat tersebut merupakan ciri-ciri orang munafik kerana apabila diberikan tugas atau kepercayaan, mereka khianati.
Jelas beliau, sifat itu amat dilarang dalam Islam.
“Apabila dipanggil munafik mereka marah, tak boleh terima teguran sebab budaya menegur dengan perkataan itu amat keras. Bila berlembut mereka akan melakukan apa sahaja.
“Sikap munafik ini sekiranya tidak ditangani atau ditegur mereka akan beranggapan tidak bersalah sekiranya melakukan sesuatu yang ditegah kerana sudah menjadi budaya,” katanya. -K! ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan