Rabu, 3 November 2021

Kontraktor rugi lebih RM300,000 diperdaya skim pelaburan dalam talian

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa yang percaya dengan tawaran dijanjikan membuat pindahan wang secara berperingkat ke dalam tiga akaun berbeza bermula 15 hingga 31 Okt lepas berjumlah RM303,084.

SEREMBAN: Seorang kontraktor di sini mendakwa kerugian RM303,084 selepas diperdaya tawaran skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang diperkenalkan oleh rakan media sosial yang dikenalinya dua bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Aibee Abd Ghani berkata, lelaki berusia 54 tahun itu mendakwa berurusan dengan seorang wanita dikenali sebagai “Lilina Lim” menerusi laman Facebook pada 24 Sept lepas, disusuli dengan perbualan melalui WhatsApp.

Menurutnya, mangsa diminta mendaftar satu pautan seperti diarahkan wanita terbabit selain membuat bayaran lebih tinggi untuk mendapatkan taraf orang kenamaan (VIP) sekiranya ingin mendapatkan wang lebih cepat.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang percaya dengan tawaran dijanjikan telah membuat pindahan wang secara berperingkat ke dalam tiga akaun berbeza bermula 15 hingga 31 Okt lepas dengan keseluruhan berjumlah RM303,084.

“Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang keuntungan diterimanya selain wanita terbabit turut mendiamkan diri selepas pembayaran dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aibee berkata, suspek turut menyamar sebagai pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan menyatakan mangsa melakukan kesalahan di bawah AMLA dan perlu membuat pembayaran lagi sekiranya inginkan semula wangnya.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan di Balai Polis Rahang semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang akauntan di sebuah syarikat swasta di sini mendakwa kerugian lebih RM60,000 akibat diperdaya kenalan di Facebook berhubung kerja sambilan sebagai penyelia di sebuah platform beli-belah dalam talian.

Lelaki berusia 28 tahun itu mendakwa menerima pautan untuk membuat promosi barang dan diminta berhubung dengan pihak khidmat pelanggan untuk mendapatkan kerja tersebut serta memasukkan sejumlah wang sebagai pendaftaran pekerja dan komisen mengikut barang ditempah.

“Mangsa kemudiannya membuat tiga transaksi ke beberapa akaun bank berbeza sejak 29 Okt hingga semalam dengan keseluruhan berjumlah RM67,069. Bagaimanapun sehingga kini mangsa masih tidak menerima sebarang respons untuk urusan kerja tersebut,” katanya.

Mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan di balai polis berdekatan dan kes turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan