Khamis, 15 Ogos 2024

Secebis kisah YAB Sanusi bersama ibunya

 YAB DS SANUSI DAN IBUNYA

Coretan 

YB Afnan Hamimi Taib Azamudden

Cium tangan ibu. Itulah perkara paling awal yang dibuat oleh DS Sanusi selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-15, pada 17 Mei 2020. 

Usai majlis angkat sumpah di Wisma Darul Aman, kenderaan rasmi MB terus bergerak menuju ke Kompleks PAS Kedah. Di situ, ratusan orang sedang menanti kehadiran DS Sanusi. 

Dalam ratusan orang yang menanti itu, ada dua orang manusia yang paling istimewa sedang menunggu, iaitu bonda dan ayahnda kepada DS Sanusi. 

Sekitar jam 5.20 petang, kenderaan rasmi yang membasa DS Sanusi tiba di Kompleks PAS Kedah. Sejurus beliau keluar dari kereta, beliau terus segera menuju kepada dua insan penting yang sudah siap menunggu di atas kerusi, di ruang lobi Kompleks PAS Kedah. 

Beliau duduk tunduk mengucup tangan bondanya. Itulah tugas awal yang dilaksanakan oleh seorang Menteri Besar, mencium tangan ibu, memohon restu dan doa. Doa seorang ibu kepada seorang anak yang telah diangkat Allah mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah. 

__________

Dalam satu babak yang lain, ada Majlis Solat Hajat dan Solidariti untuk MB Sanusi di Dewan Al-Hana, Sik. Majlis itu diadakan sejurus setelah DS Sanusi ditangkap dan didakwa di mahkamah, ketika musim kempen Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 yang lalu. 

Ribuan manusia hadir pada malam itu untuk menunjukkan sokongan kepada DS Sanusi, termasuklah bondanya. 

Di dalam ucapan, kebiasaannya nama yang akan disebut di dalam senarai salutasi majlis ialah nama pimpinan atau kenamaan yang paling kanan yang hadir di dalam majlis berkenaan. Tetapi malam itu DS Sanusi sebut nama ibunya terlebih dahulu, selepas memberikan salam. Selepas nama ibu, barulah nama YB DS Tuan Ibrahim Tuan Man disebut, pimpinan PAS paling kanan yang hadir pada malam itu. 

Satu perkara yang jarang dilihat berlaku di dalam mana-mana majlis rasmi peringkat parti yang seumpama itu, namun ia dilakukan oleh DS Sanusi. Ibunya adalah manusia paling tinggi yang hadir di dalam majlis malam itu. 

__________

Pernah satu ketika, DS Sanusi 'hilang' dari kediaman rasminya di Seri Mentaloon. Kakitangan di kediaman rasmi tidak tahu di mana DS Sanusi berada. Kenderaan rasmi ada. Tapi kenderaan peribadinya tiada. 

Waktu itu sekitar jam 11 malam. Saya hubungi DS Sanusi bertanya lokasinya. Setelah dikesan, rupa-rupanya DS Sanusi berada di hospital KMC (Kedah Medical Centre), menguruskan ibunya untuk masuk dalam wad, kerana mengalami sakit dalam perut. 

Rupa-rupanya sudah hampir satu hari suntuk ibunya menahan sakit. Maka ibunya dibawa dari Sungai Pau, Sik, ke Alor Setar untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut di hospital. 

Padanlah hari berkenaan wajah DS Sanusi tidak begitu ceria. Di dalam kepalanya ada perkara penting yang merungsingkan fikiran, kesihatan ibunya. 

Sekitar jam 1 pagi, setelah selesai ibunya dimasukkan dalam wad dan diberi rawatan awal, barulah DS Sanusi beredar balik ke rumah. 

Itulah DS Sanusi. Walaupun amat sibuk dengan tugasan harian mentadbir Negeri, namun beliau tidak pernah meninggalkan tugas utama sebagai seorang anak. 

___________

Hari Isnin 12 Ogos 2024, bonda DS Sanusi teringin nak makan durian Batu Kurau. Walaupun bonda sebenarnya tak berapa sihat dan tak berapa boleh makan durian, namun oleh kerana hajat seorang ibu, maka abang kepada DS Sanusi pergi ke Batu Kurau Perak mencari buah durian yang diidamkan oleh bondanya. 

Selepas Asar hari Isnin, dipanggil saudara mara anak beranak balik berkumpul di Kg Sg Pau. Balik makan durian. Diceritakan, bonda DS Sanusi tak makan pun. Tetapi seronok melihat anak cucu menantu semua balik berkumpul. 

Rupa-rupanya, itulah majlis berkumpul yang terakhir untuk mereka. 

Selepas solat Maghrib hari yang sama, bonda DS Sanusi rebah di pintu bilik. Sempat dipapah oleh salah seorang ahli keluarga yang ada. 

Ketika itu, bonda masih sedar, tapi dilihat seperti sangat letih. Menggagahi dirinya untuk bercakap menjawab soalan anak yang memangkunya. 

Ambulans dipanggil dan dibawa ke Hospital Sik. Setelah diperiksa oleh Pegawai Perubatan bertugas, keputusan dibuat untuk menghantar bonda ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bonda disahkan mengalami serangan stroke. Sebelum dibawa ambulans, bonda ditidurkan terlebih dahulu. 

Tiba di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, terus dimasukkan ke ICU. Segala alat dan mesin sokongan dipasangkan. Ubat yang sesuai diberikan segera. 

Hari Selasa 13 Ogos 2024, keadaan kesihatan bonda DS Sanusi semakin merosot. Hampir semua ahli keluarga berkumpul di hospital, membacakan Surah Yasin dan mendoakan. Ketika ini, DS Sanusi beritahu bacaan nadi bondanya sudah semakin lemah dan menurun. Hanya bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan pernafasan. 

Hari Rabu, 14 Ogos 2024, semua peringkat parti diarahkan mengadakan solat hajat kepada bonda DS Sanusi. Lewat petang hari Rabu, dimaklumkan bahawa segala ubat yang diberikan kepada bonda telah dihentikan. Ahli keluarga telah bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan. 

Hari Khamis, 15 Ogos 2024, jam 9.40 pagi, bonda DS Sanusi telah pergi meninggalkan alam dunia ini buat selama-lamanya. 

__________

Begitulah sedikit coretan yang sempat diingat mengenai DS Sanusi dan ibunya. Ibunya menjadi orang paling penting dalam hidup DS Sanusi, kini telah kembali mengadap Allah buat selama-lamanya. 

Semoga DS Sanusi sekeluarga bertabah atas pemergian ini. Seluruh Negeri Kedah dan rakyat Malaysia berduka atas kehilangan ini. 

Maaf kerana tidak dapat bersama di dalam perjalanan terakhir bonda hari ini, kerana masih melaksanakan tugas di Nenggiri yang belum selesai. 

Moga Allah mengampuni almarhumah bonda, menempatkannya dalam kalangan para salafussoleh dan dimasukkan di dalam syurgaNya. Ameen. 

Afnan Hamimi

15 Ogos 2024

Nenggiri, Gua Musang

Source 

0 ulasan:

Catat Ulasan