Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan kebangkitan dramatik sebelum melakar kemenangan 13-21, 21-14, 21-16 ke atas jaguh India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, sekali gus mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024.
Kemenangan pada aksi suku akhir itu terus menghidupkan peluang pasangan negara yang menduduki ranking ketiga dunia itu untuk memenangi pingat, selepas meraih gangsa di temasya Tokyo 2020.
Berlangsung di Arena Porte de La Chapelle, set pertama nyata tidak menjadi untuk Aaron-Wooi Yik apabila mereka sering melakukan kesilapan sehingga ketinggalan jauh sebelum tewas.
Permainan lincah Satwiksairaj-Chirag nyata banyak memerangkap pergerakan Aaron-Wooi Yik di set pertama.
Memerlukan kemenangan di set kedua, Aaron-Wooi Yik dilihat lebih tenang dan kali ini mereka berjaya mengawal tekanan sebelum menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi di set penentuan lebih sengit apabila kedudukan mata saling rapat sebelum Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan bergaya.
Kemenangan itu turut menamatkan badi tiga kekalahan berturut-turut Aaron-Wooi Yik ke atas lawan mereka itu sebelum ini iaitu di Terbuka Indonesia 2023, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Terbuka India Januari lalu.
Hasil kemenangan itu, Aaron-Wooi Yik akan bertemu pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang di separuh akhir.
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan