Khamis, 22 Ogos 2024

Dijatuhi hukuman penjara seumur hidup: Hari yang sangat gelap – Yasin Sulaiman

 

Yasin dibawa anggota polis selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup disifatkan sebagai hari yang gelap bagi penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman.

Pelantun lagu Mimpi Laila itu nyata terkejut dan berpandangan keputusan tersebut sebagai sesuatu yang pelik.

“Hari yang gelap dan keputusan yang sangat pelik. Apa yang saya tidak boleh terima kenapa saksi pakar tidak langsung diambil keterangan dan tidak dipakai (Mahkamah Tinggi).

“Itu sesuatu yang sangat pelik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu.

Terdahulu, Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah termasuk menanam 17 batang pokok ganja.

Peguam Ariff Azami Hussein memaklumkan pihaknya akan memasukkan notis rayuan keputusan itu esok.

Beliau menegaskan, pihaknya percaya Yasin tetap tidak bersalah dan perlu menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta seperti yang dilakukannya sekarang.

“Keputusan hari ini, kita akur dan hormat. Mahkamah Tinggi ada hak untuk mengesahkan atau menukar apa-apa keputusan Hakim Mahkamah Sesyen.

“Kita ada satu lagi lapisan di Mahkamah Rayuan dan kita akan lawan di peringkat tersebut,” katanya.- KOSMO!ONLINE


0 ulasan:

Catat Ulasan