Ketika catatan ini ditulis paras air Sungai Golok pada pukul 1.30 petang hari ini, mencatat bacaan 10.70 meter melebihi paras bahaya 9 meter dan menghampiri paras tertinggi banjir 2014 iaitu 10.84 meter, serta data JPS menunjukkan ‘trend’ semakin menaik.
Kalau 60 tahun dahulu fenomena banjir merupakan saat-saat yang dinantikan oleh saya dan rakan-rakan ketika zaman kanak-kanak, tetapi sekarang ianya lebih kepada malapetaka yang mengerikan.
Kejadian banjir yang berlaku di Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Mas semenjak dari dahulu sampai sekarang adalah disebabkan 3 faktor utama:
1. Limpahan air Sungai Golok mengalir sekitar Daerah Rantau Panjang.
2. Limpahan air Sungai Jedok mengalir ke Kemahang, Baroh Pial, Kubang Kual, Putat Tujuh, Kalbod 5, Pengkalan Teluk, Tersang, Sg. Lubok Jong dan Sungai Golok.
3. Limpahan air Sungai Jegor mengalir ke Klewek, Padang Siam, Danau Tok Uban, Sg Lubok Jong, Tersang, Sungai Golok.
Dahulu air secara semula jadinya boleh mengalir tanpa gangguan, seperti contoh air dari Kalbod 5, Pengkalan Teluk boleh masuk ke Sg. Tersang/Lubok Jong ke sebelah tebing Bukit Lata, Padang Pak Atah, Banggol Kong, Siram dan kawasan lain.
Begitu juga air Sg. Lubok Jong boleh mengalir ke Repek, Batu 5, Pohon Tanjung, Bakong, Meranti dan kawasan lain.
Pada 2018 projek fasa 1 yang merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu bagi Sungai Golok (KESBAN) telah dibina dari muara Sungai Golok (Tak Bai) naik ke hulu sehingga ke Kg. Tersang dan melencung ke kiri sejauh 20 km ke Kg. Rengas berhampiran Kg. Chicha Tinggi di sepanjang tebing Sg. Lubok Jong.
Kesan daripada pembinaan ini kawasan bersebelahan benteng dilanda banjir teruk pada musim tengkujuh sepanjang laluan 14 km dari Lubok Jong ke Rantau Panjang.
Punca air daripada 2 buah sungai utama (Sungai Jedok dan Sungai Jegor) sebagaimana disebut di atas tidak dapat mengalir keluar ke Sg. Golok yang tinggi parasnya dan melimpah keluar menyebabkan berlakunya pertembungan air 3 sungai utama membentuk kolam takungan angkara tangan manusia itu sendiri.
Buktinya pada Disember 2022 laluan utama Pasir Mas-Rantau Panjang yang dibina sekitar 1980 buat kali pertamanya dalam sejarah telah terputus hubungan kerana ditenggelami air sedalam lebih 3 meter (10 kaki) di Kalbod 5.
Sepatutnya pembinaan benteng tersebut memberi manfaat kepada penduduk sekitar tetapi ia adalah sebaliknya. Di mana silapnya? Liputan yang disiar oleh Malaysiagazette pada 16/1/2023 lepas ada kebenaranya.
0 ulasan:
Catat Ulasan