Jumaat, 22 September 2023

[VIDEO] Sembilan kampung termasuk Kampung Iboi dilanda banjir

 

Anggota APM melakukan operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Padang Setoi, Baling malam ini.

BALING – Sekurang-kurangnya sembilan kampung di daerah ini dilanda banjir akibat hujan lebat di kawasan tersebut pada petang ini.

Kampung yang terjejas adalah Kampung Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Padang Setoi, Kampung Ulu Bakai, Kampung Seputeh, Kampung Malau, Kampung Lubuk Pedati, Kampung Binjul dan Kampung Sungai Tembak.

Kebanyakan rumah penduduk yang terjejas terletak berdekatan sungai.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, hujan lebat yang berterusan menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan penempatan penduduk berhampiran.

“Hasil tinjauan dan pemantauan anggota APM di lapangan mendapati berlakunya banjir kilat di beberapa kampung. Air sungai naik terlalu cepat mengakibatkan rumah penduduk dinaiki air.

“Kita juga melakukan operasi menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir ini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, air sungai mulai surut dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

“Keadaan cuaca masih hujan renyai di beberapa tempat dan paras air Sungai Ketil dan beberapa sungai lain juga dalam keadaan berjaga-jaga,” ujarnya.

APM menasihatkan orang ramai supaya peka dengan keadaan sekeliling dan menjaga keselamatan anak-anak serta keluarga selain bersedia untuk berpindah jika berlaku kenaikan air di kawasan rumah masing-masing. – KOSMO! ONLINE

0 ulasan:

Catat Ulasan