Rabu, 24 Januari 2024

Air Bakal Naik Harga. Rakyat Jangan Ulangi Kesilapan Ketika GST Dulu.

 Air Bakal Naik Harga. Rakyat Jangan Ulangi Kesilapan Ketika GST Dulu. 

1. Hari ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024.

2. Bagi kita di Pahang, jangkaan kenaikan harga adalah sekitar RM0.41. Jika kita sebelum ini menikmati harga RM0.37 bagi setiap meter padu, harga baru selepas kenaikan adalah RM0.78. Untuk rekod, ini adalah kenaikan kali pertama sejak 40 tahun yang lalu.

3. PAIP secara dasarnya adalah anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang dan bertanggungjawab di dalam aspek operasi merawat, membekal, membersih dan memungut hasil air daripada penjualan air bersih. Selama lebih 10 tahun (sejak dikorporatkan pada 1hb Februari 2012) menabur bakti membekalkan air bersih dan selamat kepada rakyat di Pahang, PAIP terbukti menjalankan tugas yang amat baik.

4. Pelarasan kadar tarif air yang baru ini pastinya akan memberi suntikan kewangan yang amat baik kepada PAIP dalam menangani isu – isu seperti kualiti air tidak terawat tidak memuaskan, kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi, lambakan paip usang melebihi 30 tahun, Loji Rawatan Air (LRA) melebihi kapasiti, hutang tertunggak tinggi dan pendapatan yang tidak dapat menampung kos operasi.

5. Apa yang perlu difahami oleh rakyat, pihak Kerajaan Negeri Pahang dan PAIP telah menanggung ketidakseimbangan kenaikan caj elektrik yang amat tinggi sejak sekian lama. Mudah kata; “bil elektrik nak membayar ke TNB tak pernah turun harga, tapi bil air caj kepada pengguna tak pernah naik – naik”. Keadaan ini pastinya memberi kesan yang amat besar kepada kos operasi PAIP itu sendiri.

6. Namun begitu percayalah, Kerajaan Negeri Pahang di bawah Kepimpinan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy pastinya akan mencari jalan bagaimana untuk memastikan rakyat tidak terjejas teruk terutamanya golongan B40. Lihat saja bagaimana inisiatif Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang dirasai nikmatnya oleh hampir keseluruhan rakyat di Negeri Pahang. 

7. Ambil ikitibar daripada betapa peritnya Kerajaan pimpinan Dato’ Sri Najib ketika hendak melaksanakan GST dahulu. Saya berharap, kali ini rakyat tidak membuat kesilapan seperti mana GST dicemuh dan dihina dahulu. Keputusan yang tidak popular ini perlu dibuat demi kesejateraan rakyat di masa hadapan.

Teringat Long Nan kata “ Panjang paip di Pahang ini ada 14,000km, kita boleh pergi ke London dari Kuantan!”


Sumber Facebook 

0 ulasan:

Catat Ulasan