Kuala Lumpur: Usahawan perlu mempunyai perubahan minda yang mana mereka tidak boleh lagi mengambil sikap tunggu dan lihat, sebaliknya perlu turut berubah dan menerima pendigitalan dalam perniagaan, supaya mampu menghadapi persaingan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, pendigitalan adalah elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan, tetapi juga kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan.
Katanya, pandemik Covid-19 menyedarkan kita bahawa untuk maju, kita harus melepaskan diri dari keadaan normal dan mengembangkan pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan terhadap rakyat dan ekonomi.
"Ia bukan lagi business as usual. Inilah masanya untuk idea baharu dan untuk berinovasi. Dengan batasan pergerakan dan pertemuan manusia secara fizikal, ia menyebabkan masyarakat secara tidak langsung terpaksa menerima penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan seharian, sekali gus mendorong peningkatan penggunaan teknologi maklumat.
"Walaupun pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menariknya, berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sehingga 31 Oktober 2020, sebanyak 373,213 entiti sudah mendaftar perniagaan mereka dengan SSM di bawah kategori / kod bagi perniagaan dalam talian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Forum Perniagaan PKS BH 2021, secara maya, hari ini.
Rizal berkata, dalam usaha untuk melonjakkan status ekonomi negara, ekonomi digital akan memainkan peranan penting dengan sasaran sumbangan sebanyak 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2025.
Katanya, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan juga haruslah terus memberi kesedaran, latihan, sokongan dan bantuan yang diperlukan bagi mempercepatkan proses transformasi ini.
"SME Corp Malaysia akan terus komited di dalam memastikan kelangsungan PKS di masa yang mencabar ini dengan penganjuran pelbagai program, inisiatif dan aktiviti seperti Minggu PKS Kebangsaan 2021, Portal MyAssist MSME, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan sebagainya.
"Suka untuk saya maklumkan di sini, SME Corp. Malaysia akan menganjurkan acara pameran tahunan SMIDEX 2021 pada 1 hingga 23 Disember 2021, secara dalam talian, yang bertemakan SMEs: Revitalise.
"Program, inisiatif dan aktiviti ini diharap dapat menjadi titik tolak bagi PKS untuk mengambil peluang menjalankan perniagaan secara dalam talian dan seterusnya melangkah ke dunia pendigitalan," katanya.
Tambahnya, beliau berharap supaya PKS dapat berusaha untuk mendapatkan akses pasaran yang lebih luas dengan meneroka perniagaan melangkaui sempadan di peringkat antarabangsa melalui MatchME.
"MatchME adalah antara modul yang terdapat di dalam Portal MyAssist MSME. Ia memadankan syarikat PKS dengan syarikat multinasional (MNC), syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), organisasi berkaitan kerajaan, pasar raya Besar dan juga syarikat-syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara secara lebih mudah dan cepat.
"MatchME berjaya memadankan 411 syarikat PKS dengan potensi jualan sebanyak RM20.7 juta," katanya.
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan