Kuala Lumpur: Polis akan mengeluarkan kompaun kepada individu belum divaksin, yang didapati melakukan rentas negeri susulan kebenaran aktiviti itu oleh kerajaan bermula hari ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan tegas itu akan diambil menerusi pemeriksaan pasukan pemantau di lokasi tumpuan orang ramai seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R).
Menurutnya, polis akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan supaya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, selain memastikan tiada individu belum menerima vaksin Covid-19 mengambil kesempatan.
"Kerajaan umum mereka yang mahu merentas negeri perlu lengkap vaksin, maka mereka perlu patuhi perkara itu.
"Polis tidak akan beri amaran lagi sebaliknya terus keluarkan kompaun kepada mereka yang rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap," katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain pemantauan di kawasan R&R, Hazani berkata, polis turut melakukan pemantauan di pusat beli-belah dan tempat tumpuan awam.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri kepada individu lengkap vaksinasi yang berkuat kuasa hari ini.
Pada sidang media itu, Ismail Sabri berkata, pemeriksaan SOP tetap dilaksanakan pihak berkuasa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan