Sebuah kempen dalam talian yang mendesak Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali meletak jawatan telah mendapat lebih 100,000 tandatangan warganet.
Petisyen dengan tanda pagar #AzminLetakJawatan itu dimulakan pengguna maya dengan nama Kerajaan Gagal di laman www.change.org mensasarkan untuk meraih 150,000 tandatangan.
Setakat berita ini dikemaskini jam 10.56 pagi, petisyen itu telah mengumpul 105,000 tandatangan warganet.
"Hanya satu sebab: gagal berfungsi sebagai menteri kanan yang diharapkan. Titik," kata petisyen itu.
Azmin yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dikritik ramai pihak susulan dakwaan terdapat kebenaran operasi perkhidmatan tidak perlu semasa total lockdown PKP Penuh berlangsung.
Azmin semalam berkata Miti juga mengambil maklum mengenai aduan beberapa pihak yang mendakwa CIMS 3.0 dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada berada dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.
Jelasnya, Miti bukanlah pihak tunggal yang memberikan kebenaran beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh sekarang.
Menurut Azmin ada pelbagai kementerian lain terbabit dalam saringan sektor industri yang mengemukakan permohonan melalui Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) 3.0 kendalian Miti.
Terdahulu, Hantaran Facebook "saya dah tutup pintu depan" yang dibuat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri kelmarin mengundang perhatian.
Walaupun kemudian dinafikan Ismail ada maksud lain disebalik hantaranya itu, ada pihak melihatnya sebagai sindiran berkaitan kebenaran operasi kilang ketika sekatan pergerakan penuh pada masa ini.
Sumber Malaysiakini di Putrajaya semalam mendakwa berlaku ketegangan antara Ismail dengan Azmin Ali dalam mesyuarat kabinet sebelum ini.
Ketegangan itu didakwa sumber berpunca daripada tindakan saat akhir Miti untuk mengawal permohonan bagi kebenaran untuk beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pada masa ini.
Kredit: https://cin-ca.blogspot.com
0 ulasan:
Catat Ulasan