Seremban: Uruskan anak dan isteri yang sedang berpantang di rumah di sebelah pagi manakala pada petang hingga malam pula dia menjual burger di gerai.
Begitulah rutin harian bekas atlet paralimpik, Mohd Faizal Ali, 37, sejak dua minggu lalu dan semua itu dilakukan demi menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Mohd Faizal yang kudung kaki kiri sejak berusia 10 tahun kerana dipotong berikutan penyakit barah tulang berkata, dia perlu berusaha keras kerana tanggungjawabnya bertambah selepas menerima seorang lagi cahaya mata.
Katanya, dia juga belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak setakat ini walaupun pernah cuba menghantar permohonan dan mengakui perlu membayar semua komitmen bulanan sendiri.
"Saya pernah ikhtiar bermacam cara untuk mencari rezeki antaranya dengan menjual pau, ayam goreng dan mee kari serta nasi ayam pada Ramadan lalu.
"Hasil jualan tidak menentu namun saya usahakan juga dan sebelum ini, isteri (Nur Farah Nabila, 29) turut sama membantu.
"Kini, dia (isteri) sedang berpantang selepas melahirkan anak dua minggu lalu jadi saya bergerak sendiri dan baru membuka gerai burger di Taman Senawang Jaya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mohd Faizal yang menetap di Taman Happy, Rasah, di sini, berkata, dia mula berniaga daripada jam 5 petang hingga 8 jam buat masa ini.
Bagi menyeimbangkan badan, dia perlu berdiri dengan menggunakan tongkat sewaktu bekerja dan kerusi roda ketika di rumah.
"Dulu, saya gunakan kaki palsu tetapi kini tidak lagi selepas terjatuh dua tahun lalu menyebabkan lutut jadi bengkok.
"Jari, pergelangan tangan dan siku pula membengkak akibat gout namun saya bertahan kerana fikirkan tanggungjawab untuk menyara isteri dan empat anak (anak hasil perkahwinan kedua).
"Memang sakit untuk gerakkan jari tetapi saya bersyukur kerana anak sulung (Ummu Umairah, 5 ) sudah pandai membantu melakukan kerja rumah dan menguruskan adik bongsunya yang baru lahir," katanya yang pernah mewakili Selangor dan Melaka dalam acara bola keranjang kerusi roda selain aktif dengan sukan angkat berat.
Mohd Faizal berkata, selain menyara keluarga, dia kini gigih bekerja kerana mahu membayar sewa rumahnya yang sudah tertunggak selama dua bulan berjumlah RM1,300.
Katanya, sewa itu perlu dilangsaikan kerana dia enggan keluarganya hilang tempat berteduh.
"Sebelum Ramadan lalu, rumah saya dipecah masuk dan ia menyebabkan saya kerugian RM1,200 yang sebahagiannya mahu digunakan untuk membayar sewa rumah.
"Sedih juga dengan apa yang berlaku kerana kerugian itu bukan sedikit namun cuba positif dan ingatkan diri untuk bersyukur memandangkan masih ada sebelah kaki serta ramai lagi di luar sana lebih susah.
"Jujurnya, anak-anak menjadi penguat semangat dan selagi bernyawa serta diberi kudrat, saya akan terus berusaha membesarkan mereka," katanya yang sudah bebas daripada penyakit barah tulang.
Kisah Mohd Faizal sebelum ini tular di laman sosial selepas pelanggannya, Norshela Alias, 35, memuat naik satu hantaran berserta gambar di Facebook (Fb).
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Mohd Faizal di talian 01131815447 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 155023404373 atas nama isterinya, Nur Farah -myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan