PETALING JAYA: Annuar Musa mendesak pimpinan parti mengesahkan sama ada Umno mengutus surat kepada Muhyiddin Yassin memaklumkan tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU-15, dan penglibatan Umno dalam kerajaan sekarang “hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan”.
“Kami difahamkan pada 26 Feb lalu, presiden Umno menulis surat kepada presiden PPBM memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bermesyuarat pada 19 Feb di Janda Baik,” katanya di Facebook.
“Jika benar, kenapa ahli tidak diberitahu mengenai tindakan tersebut?” katanya, yang juga menteri Wilayah Persekutuan.
Beliau juga meminta pimpinan parti mengesahkan adakah benar MKT memutuskan tiada kerjasama dengan PPBM pada PRU-15 dan kebersamaan Umno dalam kerajaan hanya sehingga Parlimen dibubarkan.
Perkembangan ini sebelum Umno mengadangan perhimpunan agung tahunan pada hujung bulan ini, yang dikatakan akan menentukan nasib kerjasama dengan PPBM.
“Jika benar tentu ahli mahu tahu rasional keputusan itu dibuat sekarang, sedangkan pilihan raya tak tahu bila,” katanya.
Bagi Annuar, sekiranya benar dakwaan itu, Umno tidak patut memutuskan kerjasama itu sekarang, sebelum usul berkaitan dibawa ke PAU yang akan bersidang pada 27 dan 28 Mac.
“Mengapa mendahului PAU?” katanya.
Annuar juga percaya keputusan yang menetapkan keberadaan Umno dalam kerajaan hanya sehingga Parlimen dibubarkan akan merugikan parti, sekiranya ia tidak berada dalam kerajaan sementara selepas Parlimen dibubarkan.
“Kerana sudah tentu pihak kerajaan, khususnya PPBM, mungkin tidak lagi memberi kerjasama kepada pemimpin Umno, yang sudah mengambil pendirian menentang atau menolak PPBM,” katanya.
Annuar juga mahu tahu apakah keputusan Umno itu, yang akan menyertai pilihan raya atas nama Barisan Nasional, diterima Dewan Tertinggi BN.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan